Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ia merupakan salah satu langkah strategik bagi menghadapi peningkatan trafik sempena Tahun Baharu Cina.
"Ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.
"Bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi yang tidak diaktifkan Smart Lane," katanya ketika memberi Taklimat Persediaan Operasi Lebuh Raya Dalam Menghadapi Peningkatan Trafik Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, di sini, pada Rabu.
Jelasnya, orang ramai boleh mengenal pasti pengaktifan Smart Lane menerusi papan tanda peringatan serta lampu hijau berkelip di lokasi.
Dalam masa sama, PLUS menjangkakan peningkatan trafik mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di semua lebuh raya bawah kawalan mereka bermula Jumaat ini.
Jangkaan hari puncak di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 adalah pada 24 hingga 25 Januari serta 31 Januari hingga 1 Februari depan.
Bagi memastikan kelancaran trafik, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di lebuh raya akan dihentikan sementara bermula 23 Januari hingga 3 Februari ini.
"Dalam tempoh ini, tiada penutupan lorong akan dijalankan kecuali membabitkan kerja-kerja pembaikan kritikal, kecemasan dan pengalihan kemalangan untuk memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.
"Kerja projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan laluan Sedenak-Kulai, Johor akan diteruskan mengikut jadual perancangan semasa. Kerja yang sedang dijalankan di lokasi ketika ini hanya merangkumi kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan dan pengalihan utiliti yang tidak akan membabitkan sebarang penutupan lorong di laluan utama lebuh raya," ujarnya.