Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kejayaan itu dicapai hasil pelaksanaan pelantikan PPS enam kali setahun dengan sela dua bulan, berbanding tempoh menunggu lebih setahun sebelum ini.
"Bagi tahun 2025, Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan untuk melantik 3,000 PPS yang akan ditempatkan di 49 HLS di seluruh negara.
"Bagi suku pertama tahun ini, KKM sudah melantik seramai 1,114 Pegawai Perubatan Gred UD9 secara kontrak untuk menjalani latihan siswazah di 49 HLS seluruh negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) yang mempersoalkan jumlah bilangan doktor pelatih diserap ke dalam fasilti kesihatan negara sepanjang tahun lalu serta jangkaan untuk 2025, khususnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Ganabatirau bertanyakan sama ada KKM mempunyai statistik berkenaan jumlah doktor pelatih yang sedang menunggu penempatan setakat ini.
Dr Dzulkefly berkata, daripada 3,316 graduan yang dilantik sebagai PPS itu, seramai 423 ditempatkan di HTAR.
Katanya, pelaksanaan pengambilan enam kali setahun itu menyebabkan graduan perubatan tidak lagi kecewa kerana terpaksa menunggu lebih setahun sebelum ini.
