Serbuan bermula kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, Op Hazard ini mengenal pasti kilang ini hasil risikan pihaknya.
Katanya, selain barang e-waste, turut menemui 50 beg peluru termasuk anak peluru serta kelongsong di mana setiap satu dianggar seberat satu tan.
"Siasatan awal percaya peluru-peluru ini bukan dari Malaysia dan kita sedang kenal pasti sumbernya.
"Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, didapati peluru serta kelongsong akan diproses dengan kaedah dibakar sebelum diasingkan menjadi jongkong timah serta tembaga," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati premis dipercayai beroperasi tidak berlesen.
Tambah Mohamad Suzrin, difahamkan kira-kira 70 hingga 80 pekerja diperiksa untuk siasatan sama ada mereka mempunyai dokumen atau sebaliknya selain pelbagai rampasan termasuk mesin memproses.
Tegasnya, ini merupakan keperluan dalam usaha membasmi e-waste haram daripada merosakkan alam sekitar negara.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Op Hazard ini dilaksanakan serentak membabitkan 765 keanggotaan di seluruh negara pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS, Azlan Ahmad berkata, pihaknya mendapati kilang terbabit tidak mempunyai lesen melerai dan melebur.
"Kita kesan ada aktiviti meleburkan peluru selain premis membuat pembakaran terbuka serta kemungkinan pelepasan gas berbahaya.
"Peluru disenaraikan dalam senarai bahan letupan dan ini pertama kali dikesan. Kita memandang serius perkara ini," ujarnya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kilang terbabit turut menempatkan penempatan bagi kediaman pekerja disyaki warga asing yang menggunakan kontena.
Beberapa dapur tempat peleburan juga dikesan selepas menemui beberapa jongkong timah.
Selain itu, pelbagai timbunan bertan guni berisi pelbagai sisa e-waste juga dipercayai dalam tindakan untuk dilerai oleh pekerja asing terlibat.
Bermula Jun tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan banyak premis e-waste di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri yang dipercayai beroperasi secara haram tanpa mendapat kelulusan JAS.
Ada di antaranya berselindung di sebalik operasi mengumpul besi lusuh, namun dalam masa sama mengaut keuntungan dengan mengekstrak, melerai dan melupus e-waste termasuk mempromosikannya di media sosial secara terbuka.
Susulan laporan itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali dalam sidang akhbar memberitahu seorang individu bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses e-waste haram pada 5 Ogos di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan serta Johor.
Selain itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki juga menyifatkan sindiket memproses e-waste haram berisiko mengakibatkan kes jenayah, salah guna kuasa, rasuah serta kesihatan. - Sinar Harian
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)