Ringkasan AI
- 606 sekolah tahfiz di Selangor tidak berdaftar dengan JAIS sejak 2008, menurut Program Pemutihan Tahfiz Selangor.
- Sultan Selangor menitahkan penambahbaikan keselamatan di sekolah tahfiz dan penutupan sekolah yang tidak berdaftar atau tidak memenuhi syarat.
- Siasatan awal kes kematian murid di sekolah KAFA di Serdang telah dimulakan, dan keluarga mangsa menerima sumbangan RM1,000 dari Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor (TIJARI).
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata jumlah itu diperoleh menerusi Program Pemutihan Tahfiz Selangor oleh kerajaan negeri.
"Kita ambil serius berkenaan (sekolah tahfiz tidak berdaftar) dan sebarang rungutan yang ada.
"Soal keselamatan tidak boleh kita pinggirkan dan saya rasa daripada titah Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) sangat jelas bahawa sekolah (tahfiz) yang tidak patuh untuk keluar dari tempoh pemutihan ini akan ditutup," katanya di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang) yang ingin tahu usaha menambah baik kualiti infrastruktur sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di bawah JAIS agar tidak berlaku lagi kemalangan nyawa membabitkan murid.
Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor menitahkan JAIS melakukan penambahbaikan sistem dengan fasiliti keselamatan diiktiraf di sekolah tahfiz selain memastikan alat pencegah kebakaran berada dalam keadaan baik dan diluluskan bomba.
Baginda juga menitahkan supaya sekolah tahfiz tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat, ditutup.
Selain itu, Mohammad Fahmi berkata siasatan awal kes kematian seorang murid di sekolah KAFA di Serdang pada tahun lepas, telah dimulakan dan keluarga mangsa turut menerima sumbangan Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor (TIJARI) sebanyak RM1,000.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abbas Salimmi berhubung bantuan diberikan khususnya oleh JAIS kepada keluarga mangsa renjatan elektrik itu.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut disyaki terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang pada 18 Dis 2024.
-- BERNAMA
