Ringkasan AI
- Seramai 774 penolong pegawai perubatan (PPP) kontrak fasa enam dan tujuh akan diserapkan ke jawatan tetap dalam masa terdekat.
- KKM meningkatkan kapasiti latihan dan pengambilan tenaga baharu untuk memastikan lebih 25,000 PPP di Malaysia memenuhi keperluan sistem kesihatan negara.
- KKM menyokong pewujudan perjawatan fleksi bagi PPP dalam bidang kepakaran untuk tenaga kerja yang lebih dinamik dan fleksibel.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tenaga kerja sektor kesihatan serta memastikan kestabilan kerjaya golongan tersebut.
Setakat ini kata beliau, 3,264 PPP masih lagi berstatus kontrak.
"Jumlah perjawatan bagi PPP adalah 17,770 orang dengan 92 peratus daripadanya sudah diisi dengan berbaki 1,469 kekosongan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan, di Hospital Tunku Azizah, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, bagi memastikan lebih 25,000 PPP di Malaysia terus berkembang dan memenuhi keperluan sistem kesihatan negara, KKM juga telah meningkatkan kapasiti latihan dan pengambilan tenaga baharu.
"Pada tahun 2024, seramai 807 pelatih baharu telah diambil ke Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM), sementara 462 pelatih telah direkrut bagi Sesi Pertama 2025.
"Selain itu, 283 pelajar turut mengikuti program Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan (atau ‘Diploma in Medical and Health Sciences’) di institusi swasta, sebagai sebahagian daripada usaha negara melahirkan lebih ramai PPP yang berkualiti tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, Kementerian Kesihatan menyokong pewujudan perjawatan fleksi bagi PPP dalam bidang kepakaran bagi memastikan tenaga kerja yang lebih dinamik dan fleksibel mengikut keperluan semasa.
Menurutnya, kesemua langkah itu bakal memperkukuhkan kedudukan dan peranan lebih 20,000 PPP dalam sektor kesihatan awam dan lebih 25,000 pengamal dalam seluruh sektor kesihatan umumnya.
