Ringkasan AI
- KPDN Terengganu menerima 40 aduan daripada orang awam antara 1 hingga 23 Januari, dengan aduan tertinggi melibatkan harga barang dan perkhidmatan (18 kes).
- KPDN telah menganjurkan 65 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sejak 1 Januari, melibatkan premis, PJRM bergerak, dan PJRM@Pasar di lapan Parlimen seluruh Terengganu.
- Sebanyak 30 siri PJRM telah dan akan dilaksanakan khas untuk Tahun Baharu Cina dari 23 hingga 28 Januari, memberi manfaat kepada 14,849 pengunjung.
Timbalan Pengarahnya Mohd Sakhri Mohd Salleh berkata aduan tertinggi melibatkan harga barang dan perkhidmatan iaitu 18 kes yang diterima melalui pelbagai medium termasuk sistem dalam talian.
Beliau berkata aduan lain termasuk transaksi dalam talian (tujuh kes); barang kawalan (lima kes); perkhidmatan mengelirukan (empat kes); bengkel kenderaan bermotor (satu kes); perihal perdagangan palsu (satu kes).
Sementara itu, aduan lain berkaitan sewa kenderaan, barang tiruan, jualan kredit dan jualan langsung masing-masing mencatatkan satu kes.
"Semua kes telah disiasat dan diambil tindakan mengikut akta tertentu. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan laporan dan aduan orang ramai bagi mengelak salah laku dalam kalangan peniaga," katanya pada program pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shakri berkata KPDN juga telah menganjurkan sebanyak 65 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bermula 1 Jan hingga hari ini.
Beliau berkata ia melibatkan 31 siri PJRM dalam premis, PJRM bergerak (33 siri) dan PJRM@Pasar (satu siri) di lapan Parlimen seluruh Terengganu.
"Seramai 14,849 pengunjung telah mendapat manfaat daripada 65 siri PJRM yang dilaksanakan.
"Bermula 23 hingga 28 Jan ini, sebanyak 30 siri PJRM telah dan akan dilaksanakan khas untuk Tahun Baharu Cina," katanya.
-- BERNAMA