KUALA LUMPUR: Agenda pemerkasaan Bumiputera perlu kekal sebagai keutamaan Kabinet dan berada dekat dengan Perdana Menteri bagi memastikan kesinambungannya,

Menurut Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali, usaha ini mesti berterusan serta melibatkan semua pihak supaya tidak menjadi isu sementara yang dilupakan.

"Agenda ini perlu dekat dengan Perdana Menteri dan ia adalah proses berterusan yang semua pihak perlu terlibat. Kalau tidak, kita tak tahu apa yang sedang berlaku," katanya dalam forum Bicara Persada.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan bahawa tanpa inisiatif berterusan, kesedaran terhadap agenda Bumiputera akan pudar.

Menurutnya, Kongres Ekonomi Bumiputera sebelum ini mungkin tidak lagi diingati jika tidak kerana usaha pihak tertentu seperti Persatuan Persada.

"Kalau saya tak buat Persatuan Persada, saya ingat orang tak ingat pun setahun Kongres ini. Dah lupa dah pun," katanya.

Noor Azlan turut menekankan bahawa kejayaan agenda ini bergantung pada pelaksanaan yang tersusun dan keberanian kerajaan dalam mengambil tindakan.

Beliau percaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan komited terhadap usaha ini, namun ia perlu dilakukan secara teratur dan menunjukkan hasil yang jelas.

"Kita perlu berani. Kalau kata belum, belum. Kalau kata sudah, sudah. Tunjukkan hasilnya," jelas beliau.