KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang ingin mengusir penduduk Palestin dari tanah mereka sendiri, semata-mata untuk memberi laluan kepada pembangunan semula di Gaza, berbau keangkuhan imperialis, kejahilan, dan pemisahan sepenuhnya dari realiti.

Pengerusi Malaysian Women’s Coalition for Al Quds and Palestine (MWCQP), Zuraidah Kornain berkata, cadangan agenda penjajahan Trump itu mesti dilihat sebagai satu pelan tindakan penghapusan etnik atau genosid.

Beliau berkata, perbuatan Trump mengancam Mesir dan Jordan, dengan cara menyekat bantuan kepada kedua-dua negara itu semata-mata untuk mendapatkan sokongan dalam agenda pembangunan Gaza adalah satu yang tidak patut dilakukan.

“Itu adalah satu tindakan yang salah. Jadi kita harap Presiden Trump menilai semula polisi yang dia nyatakan itu, dan mempunyai lebih kebijaksanaan dalam mengemudikan kecelaruan yang berlaku di Gaza dan juga di Timur Tengah.

“Kita harap Trump sebagai Presiden AS, yang mempunyai kuasa dan pengaruh untuk membina keamanan, dapat menghasilkan keamanan terutamanya di Gaza dan juga Timur Tengah. Jadi itulah harapan kami dan itulah surat yang telah kami serahkan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas menyerahkan nota bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat berhubung pelan terbaharu Trump untuk melucutkan hak pewarisan, maruah dan masa depan rakyat Palestin dari Gaza.

Terdahulu Zuraidah berkata, pelan Trump itu jelas satu percubaan yang mengerikan untuk memaksakan kehendaknya kepada kaum yang teguh dan istiqamah menentang penindasan selama beberapa dekad.

“MWCQP menyeru pemimpin dunia, pertubuhan hak asasi manusia, dan kerajaan Malaysia untuk menolak rancangan bebal ini dan memelihara kedaulatan dan kehormatan rakyat Palestin dalam menentukan masadepan mereka sendiri,” katanya lagi.