KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pengurniaan D.K.1 kepada Prabowo berlangsung di Istana Negara, di sini dan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Yang Mulia Bapak Prabowo merupakan sahabat karib Seri Paduka Baginda yang dikenali lebih 40 tahun, sejak zaman latihan ketenteraan di Amerika Syarikat pada 1980-an," menurut catatan itu.

Terdahulu, Presiden Indonesia itu diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara.

Prabowo tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

 

Lawatan ini ialah lawatan negara yang pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Ia juga merupakan lawatan negara pertama oleh Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt 2024.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (US$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (US$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.

Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM111.21 bilion (US$24.39 bilion).

-- BERNAMA