KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan tujuh akta yang diluluskan dalam Mesyuarat Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung pada 14 Okt hingga 12 Dis lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam pemasyhurannya memaklumkan perkara itu sebelum memulakan Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata akta-akta berkenaan ialah Akta Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025), Akta Kewangan 2024, Akta Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2024 dan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2024.

"Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan Akta Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024," katanya.

Sementara itu, Johari turut mengingatkan ahli-ahli Dewan untuk menunjukkan teladan yang terbaik serta mempamerkan kematangan berpolitik sepanjang persidangan.