KAJANG: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah rumah di Sungai Long, dekat sini, minggu lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Tan Hee Heng, 66, berikutan kes bunuh berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Lee Lai Peng, 63, di sebuah rumah di Taman Bukit Palma, Sungai Long, antara 3.30 pagi hingga 5.19 pagi pada 21 Feb lepas.

Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Ain Mohd Sabirin, manakala tertuduh diwakili peguam Y.S. Ling.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada anak lelaki mangsa berusia 35 tahun yang memaklumkan bapanya yang berusia 65 tahun cuba membunuh diri dengan mengelar tangan menggunakan pisau selepas dipercayai membunuh ibunya.

-- BERNAMA