KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bahawa Parlimen mesti berfungsi sebagai platform semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ahmad Zahid berkata ini adalah penting untuk memperkukuh keamanan dan menjaga kestabilan negara.

"Malah, Tuanku turut menyeru agar Ahli Parlimen menjadi benteng perpaduan dan bukannya ejen perpecahan rakyat. Patik sekalian menjunjung titah seperti yang disarankan," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

Beliau berkata demikian sebagai menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.

Fadillah turut menekankan aspek berkenaan dalam hantaran di laman Facebooknya.

"Dalam titah ucapan, Tuanku Baginda menegaskan Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem negara kita yang menjadi gelanggang pertemuan suara rakyat untuk undang-undang digubal serta medan semak dan imbang. Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, maki hamun atau menabur fitnah," kata Fadillah.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata usaha memperkasa Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diangkat sebagai agenda nasional, selaras dengan hasrat Seri Paduka Baginda.

"Menjunjung kasih jua atas keprihatinan Baginda Tuanku terhadap usaha kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti dan berdaya saing melalui pemerkasaan sistem pendidikan, termasuk TVET," katanya yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan - Tahun Melawat Malaysua 2026 berkata usaha mempromosikan budaya dan nilai murni Malaysia di peringkat antarabangsa akan dipergiatkan, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi dalam sektor pelancongan.

Fadillah pula menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa sistem perkhidmatan kerajaan hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus bagi membanteras amalan rasuah, salah guna kuasa serta budaya 'red tape'.

Beliau berkata Seri Paduka Baginda juga bertitah agar rakyat sentiasa berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan (scam) dan kecurian identiti.

"Malah, kebimbangan turut dizahirkan dengan budaya fitnah dan hasutan dalam talian serta media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, berpecah belah dan bermusuhan," katanya.

-- BERNAMA