Namun demikian, dalam mengekalkan pekerjaan itu untuk kekal relevan pada situasi evolusi semasa AI, pakar melihat penekanan haruslah diberikan kepada kecederungan pelaburan dalam penyediaan pemimpin industri dan pekerja, untuk meningkatkan kemahiran mereka bagi menambah nilai AI.
Dengan penguasaan kemahiran itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata sektor sebelum ini yang sering kali dikaitkan berisiko tinggi untuk mencatatkan kehilangan pekerjaan disebabkan AI, mungkin sukar berlaku.
"Pekerjaan atau perkhidmatan bersifat rutin dan berulang dikenal pasti terdedah kepada risiko AI seperti khidmat pelanggan, kerani data, telepemasaran, juruakaun, juruanalisis perubatan, penyelidik perundangan, sektor perkilangan seperti operator pengeluaran, pemeriksa kualiti dan pembantu tadbir.
"Namun, jika AI berjaya dimanfaat dengan cara terbaik, menyediakan mereka kepada latihan berkenaan teknologi tersebut, fenomena ini sebenarnya merupakan satu gabungan terbaik manusia dan automasi pada masa kini dalam meningkatkan kualiti serta produktiviti kerja," katanya kepada Bernama.
Beliau memberi respons itu ketika diajukan berkenaan pandangannya akan dapatan Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) 2025 di 33 negara baru-baru ini, yang merekodkan Malaysia antara negara mencatatkan kebimbangan tertinggi terhadap kehilangan pekerjaan disebabkan AI.
Menurut laporan berkenaan, hampir 73 peratus responden dari Malaysia percaya AI akan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan yang ketara, berbanding purata global iaitu 65 peratus.
Memahami kebimbangan itu wujud susulan beberapa laporan sebelum ini berkenaan sektor yang berisiko kehilangan pekerjaan disebabkan AI antaranya World Economic Forum (WEF) yang meramalkan AI dan automasi bakal menggantikan sekitar 85 juta pekerjaan di dunia pada 2025.
Namun begitu, Mohd Khairie berkata ramai yang terlepas pandang akan potensi besar pekerjaan baharu yang akan diwujudkan menerusi teknologi tersebut, sekali gus bakal memanfaatkan lebih ramai lagi tenaga kerja.
"Menariknya, WEF menyasarkan kira-kira 97 juta tenaga kerja baharu bakal dijelmakan oleh AI. Itu data luar, kalau di Malaysia sendiri, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang sebelum ini ada menyatakan 30 peratus pekerjaan di negara ini bakal terkesan dengan AI dalam tempoh 10 tahun ini.
"Akan tetapi, negara diramalkan memerlukan hampir 500,000 pekerja berkemahiran dalam sektor teknologi dan teknikal. Kerana itu, saya melihat akan keperluan mendesak pemimpin industri dan pekerja meningkatkan kemahiran AI untuk menyesuaikan diri dengan teknologi itu," katanya.
Sementara itu Prof Dr Sawal Hamid Md Ali berkata dengan adanya penguasaan AI, mungkin ramai tidak menyangka tenaga kerja berkemahiran rendah yang dikaitkan berisiko tinggi berhadapan ancaman kehilangan pekerjaan, sebenarnya kompetitif mengadaptasikan teknologi itu untuk meningkatkan kecekapan hasil kerja mereka.
"Misalnya, kerani boleh menggunakan AI untuk memudahkan lagi pekerjaan mereka dalam menyiapkan teks, surat dan penulisan lain, manakala pelukis grafik boleh menggunakan teknologi itu untuk menghasilkan draf awal yang ditambah baik dengan kreativiti sendiri. Begitu juga sektor lain.
"Sektor industri kreatif yang dijangka akan menerima tempias, namun masih boleh diperdebatkan kerana kreativiti manusia mempunyai nilai lebih tinggi berbanding hasil dijana AI. Teknologi ini sekadar alternatif membantu tugas manusia," katanya.
Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata masyarakat tidak perlu khuatir akan AI kerana seperti Mohd Khairie, beliau juga melihat teknologi tersebut bakal mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu.
"AI akan membuka peluang baharu dalam bidang berkemahiran tinggi seperti penghasilan sistem automasi, pembangunan model kepintaran buatan, pengumpulan dataset atau data raya dalam menghasilkan model AI yang mempunyai ketepatan tinggi," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)