KUALA LUMPUR: Jenayah melibatkan penipuan dalam talian di negara ini semakin membimbangkan apabila rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan ketara dari segi jumlah laporan, dan kerugian pada 2024, berbanding tahun sebelumnya.


Ringkasan AI
  • Kes penipuan dalam talian di Malaysia meningkat kepada 35,368 kes dengan kerugian RM1.57 bilion pada 2024, merangkumi jenayah seperti love scam, pelaburan palsu, dan e-dagang.
  • PDRM dan kerajaan memperkenalkan inisiatif seperti portal semak mule, unit siber JSJK, dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk menangani jenayah siber.
  • AISSE 2025 akan diadakan di Putrajaya, melibatkan 48 negara untuk mempamerkan teknologi keselamatan terkini, termasuk AI dan sistem kawalan sempadan.


Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, tahun 2024 menyaksikan 35,368 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM1.57 bilion, berbanding 34,495 laporan dan kerugian RM1.22 bilion.

Beliau berkata, jenayah siber ini merangkumi pelbagai kategori termasuk jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pelaburan tidak wujud, dan pinjaman tidak wujud.

“Untuk menangani isu ini, PDRM telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk penubuhan portal Semak Mule yang membolehkan orang ramai memeriksa nombor telefon atau akaun bank yang terlibat dalam penipuan. Selain itu, PDRM juga telah menubuhkan unit siber di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) untuk menangani semua isu berkaitan jenayah siber.

“Kerajaan juga telah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang melibatkan kerjasama antara agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan institusi kewangan. Pusat ini bertindak untuk menyekat transaksi yang mencurigakan dengan segera,” ujarnya.

Selain itu, Abdul Halim berkata, PDRM juga telah melaksanakan lebih daripada 10,000 program kesedaran pada tahun 2024 untuk mendidik masyarakat tentang bahaya penipuan atas talian dan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil.

Beliau berkata demikian sewaktu bersiaran dalam program Agenda AWANI pada Sabtu, bagi membincangkan tajuk Memperkasa Tadbir Urus Masa Depan Keselamatan Negara.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, isu jenayah siber dan jenayah rentas sempadan bukanlah dialami oleh Malaysia sahaja, tetapi ia telah dikenalpasti sebagai antara satu ancaman utama di peringkat global.

Justeru, katanya lagi, Koperasi PDRM Berhad dengan kerjasama Alpine Integrated Solution SDn Bhd telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Asia International Security Summit & Expo (AISSE’25), yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 20 Jan ini di Putrajaya International Convention Center (PICC), bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya jenayah siber yang semakin berleluasa.

“Dalam konteks penganjuran AISSE ini, kita melaksanakan sesuatu perkara mesti objektif yang tersendiri. Antara lain kita anjurkan AISSE untuk mengukuhkan hubungan di peringkat antarabangsa, hubungan antara negara, dan agensi.

“Kalau kita ingat pada tahun ini kita mempengerusikan ASEAN. Sudah tentu bukan sahaja melibatkan negara ASEAN tapi juga negara lain supaya dapat berkongsi pengalaman negara lain.

"Kita menggalakkan perkongsian teknologi dan inovasi, dengan lebih 300 pempamer tersebut sudah tentu syarikat yang mempamerkan teknologi atau sistem terkini,” katanya.

Abdul Halim berkata, setakat ini 48 negara telah mengesahkan kehadiran delegasi mereka, baik daripada syarikat mahupun pegawai kerajaan, antaranya Jepun, India, UAE, Qatar, Hong Kong, dan Turki.

Tambahnya lagi, pavilion KDN sendiri bakal mempamerkan sistem serta aset terkini, antara lain sistem kod QR di gate automatik di pintu sempadan negara, radar pemantauan untuk kawasan perairan negara, kamera badan pegawai polis dan sebagainya.

“Harapan kita supaya penganjuran AISSE 2025 akan menarik bukan saja pegawai kerajaan, anggota pertahanan dan penguatkuasa, tapi juga memberi peluang pemain industri khususnya berada dalam negara kita untuk kita sama-sama melihat teknologi yang ada di luar sana, khususnya AI.

“Ini sesuatu yang baharu, dan kita harap AISSE 2025 akan berjaya dilaksanakan sebaik mungkin bermula 20 – 22 Jan, 2025, dan kita yakin dengan ada penganjuran ini kita akan tingkatkan lagi keselamatan negara,” katanya lagi.