Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya akan melihat data sedia ada yang diperoleh daripada operasi 19 pintu masuk awal di bawah AKPS sebelum ke fasa pelaksanaan seterusnya.
Setakat ini, beliau berkata, kementerian telah mengenal pasti 141 pintu masuk utama yang merangkumi sempadan darat, lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan.
“Jadi kita akan atur keutamaan. Begitulah formula yang akan kita buat dalam menentukan keutamaan AKPS berat beroperasi di pintu masuk mana, termasuk Sabah dan Sarawak mengikut urutan keutamaan.
“Mengikut perancangan awal (mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusi) Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) kecenderungan kami adalah kalau pintu masuk udara ini adalah lapangan terbang antarabangsa dulu.
“Yang paling sibuk selain di sini (KLIA) adalah Pulau Pinang diikuti Kota Kinabalu walaupun TPM orang Sarawak, tetapi beliau minta saya utamakan Kota Kinabalu… kemudian datanglah Kuching dan yang lain-lain,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menghadiri majlis peluncuran AKPS di Anjung Tinjau, KLIA 1, di sini, pada Ahad.
Terdahulu Fadillah dalam ucapan perasmiannya berkata, AKPS penting untuk Malaysia mengesahkan komitmen terhadap kerjasama dan integrasi serantau, dalam konteks negara sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
“Dengan meningkatkan keupayaan kawalan sempadan, kita bukan sahaja menjaga kedaulatan malah memudahkan pergerakan supaya lebih lancar merentasi sempadan dalam rantau ASEAN.
“Ini penting kerana kita berusaha ke arah Asia Tenggara yang lebih terhubung dan makmur. Bukan itu sahaja, pengoperasian AKPS akan lebih mencabar kerana akan melibatkan delegasi-delegasi dari pelbagai negara ASEAN yang datang untuk menyertai persidangan di negara kita,” katanya lagi.
Selain itu, Fadillah berkata, selari dengan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026, AKPS memainkan peranan penting dalam memastikan sempadan negara mesra dan cekap, bagi memastikan pelancong dapat merasai budaya negara yang kaya, landskap semula jadi yang pelbagai dan layanan mesra yang ditawarkan oleh Malaysia.
Untuk rekod, AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Oktober 2024 dan diterajui oleh Datuk Seri Hazani Ghazali sebagai Ketua Pengarahnya yang pertama.
Antara yang diserap ke dalam AKPS adalah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).