Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah diberikan beberapa maklum balas mengenai pelaksanaan AKPS selepas mesyuarat Jemaah Menteri semalam, memandangkan ia merupakan sebuah agensi baharu.
"Perdana Menteri mahu mendengar sendiri maklum balas mengenai pelaksanaan AKPS, termasuk cabaran yang dihadapi, kekangan yang perlu ditangani serta penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi memperkukuh keberkesanan agensi ini. Beliau juga ingin mengetahui kejayaan yang telah dicapai sejak AKPS beroperasi," katanya kepada media selepas Program Nilai-Nilai Murni Ihya' Ramadan oleh AKPS 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam tadi.
Menurut Saifuddin, beliau secara spontan telah menyampaikan kepada Perdana Menteri bahawa impak paling ketara ketika ini ialah pengurangan kerenah birokrasi selepas penyatuan kawalan di bawah satu agensi tunggal, iaitu AKPS.
"Sebahagian pelanggan yang berurusan di pintu masuk mendapati urusan lebih mudah dengan satu agensi berbanding sebelum ini. Sekurang-kurangnya, saya rasa lega apabila mendengar maklum balas seperti itu," katanya.
Saifuddin berkata walaupun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan, AKPS menunjukkan tanda-tanda positif dalam memenuhi perancangan dan jadual kerja yang telah ditetapkan.
"Terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan, tetapi saya optimis bahawa penubuhan AKPS adalah keputusan yang tepat," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa AKPS akan terus memperluas kawalannya di 123 pintu masuk negara tahun ini. Setakat ini, agensi tersebut telah beroperasi di 22 pintu masuk, manakala baki 101 lagi akan dilaksanakan secara berperingkat, menjadikan jumlah keseluruhan 123 lokasi.
"Dalam perancangan awal, sasaran kami adalah 118 pintu masuk. Namun, selepas semakan semula, kami mendapati ada keperluan untuk menambah jumlah tersebut kepada 123 lokasi," katanya.
Saifuddin turut memuji kepimpinan AKPS kerana berjaya melaksanakan pengembangan operasi lebih awal daripada jadual asal, yang dijangka selesai pada Oktober ini.
AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Okt 2024.
Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini berfungsi sebagai agensi tunggal yang memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara dengan menyatukan kepakaran serta sumber dari pelbagai jabatan kerajaan.
Ketika ini, AKPS dianggotai oleh 6,000 pegawai dan anggota, termasuk 1,090 pegawai yang diserap daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Selain JKDM, pegawai serta anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) turut diserap ke dalam AKPS.
Mengenai Program Nilai-Nilai Murni Ihya' Ramadan, Saifuddin berkata program ini bertujuan memperkukuh nilai-nilai murni dalam kalangan petugas AKPS serta memberi penghargaan kepada petugas lapangan yang memastikan keselamatan pintu masuk utama negara terus terpelihara.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan pegawai bertugas dan mengedarkan pek juadah bersahur.
-- BERNAMA
