BHEUU menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan penggubalan Akta 711, bertujuan memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan serta memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan memudaratkan dan memastikan pendedahan itu disiasat sewajarnya.
"Cadangan pindaan dan penambahbaikan Akta 711 juga merupakan antara inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) Bagi Tahun 2019-2023 di bawah Strategi 5: Menginstitusikan Kredibiliti Agensi Penguatkuasaan Undang-undang dan Objektif Strategik 5.3: Memperkukuh Agensi Penguatkuasaan undang-undang," menurut kenyataan itu.
Selain itu, ia selari dengan pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 dengan cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 termasuk di bawah Strategi 4 (Penguatkuasaan).
Cadangan penambahbaikan kepada Akta 711 juga selaras dengan usaha Pembanterasan Rasuah Nasional Negara yang dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai 2023.
Kenyataan BHEUU itu juga memaklumkan lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa kerja, lima bengkel pembangunan dan penetapan dasar serta enam sesi libat urus, telah diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan utama dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meneliti semula Akta 711 secara keseluruhan.
"Ini penting untuk mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pihak berkepentingan serta kesediaan badan-badan yang telah diperuntukkan kuasa terhadap mekanisme pelaksanaan serta implikasi yang mungkin berbangkit apabila pindaan ini dikuatkuasakan," menurut kenyataan itu.
BHEUU memaklumkan sepanjang usaha penambahbaikan itu, banyak maklum balas penting diterima daripada pelbagai agensi dan NGO, bagi memastikan impaknya terhadap sistem keadilan negara serta masyarakat secara umumnya.
Cadangan dasar itu antara lain merangkumi pengubahsuaian proviso di bawah Seksyen 6, membuat pendedahan berhubung sebarang kelakuan tidak wajar, selaras dengan tafsiran kelakuan tidak wajar itu di bawah Seksyen 2 Akta 711.
Ia juga termasuk penambahbaikan Seksyen 11 Akta 711, bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat di mana perlindungan boleh dilanjutkan sekiranya pendedahan dibuat berdasarkan suci hati dan tidak melibatkan sebarang kepentingan peribadi.
Selain itu, ia turut merangkumi pengenalan kaedah dan skala pengiraan ganjaran melalui Peraturan di bawah Akta 711 mengguna pakai kuasa menteri untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Seksyen 27(1) Akta 711 dan diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan.
Ia juga merangkumi cadangan perluasan perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696].
BHEUU dalam kenyataan itu memaklumkan mengenai mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat secara interim, untuk memantapkan aspek pengurusan dan penyelarasan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta 711, sebelum penubuhan agensi berpusat sebenar.
"Jawatankuasa ini juga boleh dijadikan penanda aras bagi menentukan fungsi sebenar agensi berpusat serta tatacara bersesuaian, bagi mengendalikan pelbagai senario pendedahan kelakuan tidak wajar melalui pelbagai agensi," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan melalui perangkaan dasar yang tepat, pindaan itu bukan sahaja memberi perlindungan kepada pemberi maklumat, tetapi juga boleh meningkatkan keyakinan kepada masyarakat supaya lebih yakin untuk mendedahkan apa-apa kelakuan tidak wajar.
"Cadangan pindaan ini diyakini dapat membantu kerajaan mewujudkan masyarakat MADANI yang akan sentiasa menolak perbuatan salah laku, rasuah dan pelanggaran integriti dalam kehidupan seharian," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
