KUALA LUMPUR: Pihak terlibat menyeludup masuk sisa berjadual dan buangan elektronik atau e-sisa serta skrap ke negara ini, dipercayai melakukannya dengan membuat ikrar palsu.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam kenyataan memaklumkan taktik itu dikesan semasa jabatan tersebut melakukan pemeriksaan terhadap 336 kontena disyaki mengandungi e-sisa dalam Operasi Khas e-waste di Pelabuhan Klang, Selangor bermula Ogos hingga Disember tahun lepas.

"Hasil pemeriksaan sebanyak 306 kontena disahkan barangan e-waste dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

"Pendirian pihak jabatan adalah jelas dan tegas tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak terlibat dengan penyeludupan serta pelanggaran undang-undang.

"Dalam hal ini, JKDM sentiasa bersedia bekerjasama dengan JAS dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi menangani isu itu," menurut kenyataan tersebut.

JKDM juga memaklumkan telah mengambil langkah proaktif penguatkuasaan secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di pintu utama pelabuhan.

Kenyataan itu turut memaklumkan pengimportan barangan e-sisa merupakan larangan bersyarat kecuali mengikut cara telah diperuntukkan dan memerlukan surat kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.

Selain itu, bagi pengimportan barangan skrap pula tertakluk kepada Certificate of Approval (COA) daripada SIRIM seperti ditetapkan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Pihak yang membuat pengikraran tidak betul bagi membawa masuk bahan buangan itu boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967.

Polis menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan kejayaan merampas pelbagai sisa e-sisa di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dianggarkan bernilai RM721 juta.

Rekod rampasan itu adalah menerusi pelaksanaan Op Hazard oleh Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM bersama JAS serta pihak berkuasa tempatan pada Sabtu lepas.

-- BERNAMA