Bagaimanapun Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, dituduh semula di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah.
Semasa prosiding di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman membebaskan artis itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan.
"Pertuduhan terhadap kamu bawah seksyen ini diberi perintah DNAA.
"Pertuduhan ke atas kamu diturunkan ke seksyen lain, kemudian kamu akan dituduh di Mahkamah Majistret," katanya.
Ia susulan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memaklumkan, laporan kimia berhubung kes ini telah diterima.
"Saya mohon pertuduhan bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 diberi perintah DNAA.
"Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh bawah dua seksyen lain," katanya.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Muhammad Nizamudin mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan.
Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa ada dalam milikan bahan dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61gram di sebuah rumah di Cyberjaya, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(a)(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dibaca bersama 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun. - Sinar Harian