KUALA LUMPUR: Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) akan memulakan pengambilan kohort pertama program Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada Julai depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, universiti itu sebelum ini telah memulakan pengambilan bagi program Doktor Falsafah (PhD) (Keusahawanan) dengan penerimaan 16 calon pada Julai tahun lepas.

"UKKM juga dalam rangka menerapkan serta mengimplementasikan pendekatan "Work Based Learning" seperti program 2U2I (dua tahun di universiti dua tahun di industri) bagi peringkat pengajian prasiswazah, untuk melahirkan graduan yang menjadi pilihan dan rebutan industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen Pertama UKKM di Pusat Dagangan Dunia, di sini, pada Khamis.

Turut hadir Pro-Canselor UKKM yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pro-Canselor UKKM, Tan Sri Mohamad Fauzi Harun dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKKM, Datuk Dr Rosli Mat Hassan.

Ewon berkata, UKKM juga merancang menawarkan beberapa program akademik secara Open Distance Learning (ODL) yang mempunyai daya maju bagi calon-calon yang tinggal jauh dari kampus induk.

"Demi memastikan UKKM sentiasa berdaya saing serta berada seiring dengan peredaran serta keperluan semasa, saya mencadangkan agar UKKM meneroka serta memperluas lagi program pengajian sedia ada.

"Ini termasuklah menambah program menjurus kepada analisis data perniagaan, pengurusan francais, perniagaan antarabangsa, kepimpinan keusahawanan serta program yang menepati arus semasa," katanya.

Ewon berkata, UKKM telah pun memperoleh permit pengambilan pelajar antarabangsa dan akan memulakan pengambilan bermula tahun ini.

Sebagai universiti swasta berstatus full-fledge university, Ewon berkata, UKKM juga sedang membuat persiapan awal memperoleh pengiktirafan seperti daripada Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) dan persediaan pengauditan MyTBS (Malaysia's Graduate Top Business School).

"UKKM juga dalam proses mendapatkan penarafan antarabangsa iaitu AMBA (Association of MBA) yang berpangkalan di Eropah. Saya yakin dengan kepimpinan UKKM yang ada sekarang, UKKM mampu menjadi sebuah universiti rujukan dalam bidang kebitaraan koperasi pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA