HULU SELANGOR: Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini pada Isnin menetapkan 8 dan 13 Mei depan untuk tarikh akhir kehadiran pempengaruh, Nurul Shuhada Mat Shukri bagi prosiding kes perbicaraan dicederakan bekas suaminya, Hafidz Roshdi.

Majistret, Nurul Izzah Hassan Basri menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan anak Shuhada menghidap demam dan dihalang daripada meneruskan perjalanan dari Melbourne, Australia ke Malaysia.

Beliau berkata, mahkamah tidak berhasrat memanggil saksi untuk memberi keterangan sebaliknya pengadu dikehendaki hadir untuk perbicaraan penuh.

"Ada beberapa perkara yang perlu disahkan oleh pengadu, yang mana ia akan menentukan hala tuju perbicaraan kes ini.

"Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara akhir untuk kehadiran pengadu dan bagi mengelak ketidakadilan kepada tertuduh, mahkamah akan menetapkan tarikh bicara akhir pada Mei depan," katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan berkata, Australia berdepan wabak 'Measles' maka mana-mana individu yang mengalami gejala demam dan ruam, akan dihalang daripada menaiki pesawat.

Susulan itu beliau berkata, Shuhada, 31, yang juga pengadu dalam kes ini, terpaksa membatalkan perjalanan terbabit.

"Ini merupakan kali pertama pengadu tidak dapat hadir tetapi dia berjanji datang ke mahkamah dalam perbicaraan seterusnya.

"Bagi tujuan perbicaraan, seramai tiga saksi iaitu seorang jurugambar dan dua pegawai penyiasat bersedia untuk memberi keterangan," katanya.

Perkara itu kemudiannya mendapat bantahan daripada peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili hero drama ‘Tundukkan Playboy Itu' yang mempertikaikan bukti laporan perubatan anaknya tidak diserahkan kepada pihak Hafidz, 31.

"Tiket itu amat meragukan, mengapa pengadu beli tiket penerbangan dari Melbourne ke Sydney kemudian transit di Singapura sebelum tiba ke Malaysia?

"Tidak masuk akal, tiada sebab Shuhada dan anak-anak perlu melalui beberapa transit, sedangkan banyak penerbangan secara terus dari Melbourne ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, tiada faedah untuk mahkamah memanggil saksi pendakwaan sekiranya pengadu sendiri tidak hadir untuk prosiding itu.

Menurutnya, pengadu juga telah menarik balik laporan polis berhubung kejadian terbabit pada 6 Julai 2024.

Susulan itu beliau memohon mahkamah memberi perintah lepas dan bebas (DNA) kepada anak guamnya memandangkan Shuhada telah menarik balik kes serta tidak berminat untuk meneruskan kes terbabit.

Asmah kemudiannya membalas, pengadu terpaksa menempah tiket dengan beberapa kali transit memandangkan tiket dari Melbourne ke Kuala Lumpur sangat mahal.

"Ia agak memenatkan namun ia lebih murah, walaupun peguam menyatakan ia pelik namun kita perlu melihat dari sudut pengadu sendiri yang merupakan seorang ibu tunggal, menjaga dua anak dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Pengadu tidak dapat hadir bukan dengan sengaja namun pembelaan menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan perintah DNA yang mana ia akan memprejudiskan kes pendakwaan," katanya.

Selain itu beliau berkata, walaupun pengadu telah menarik balik laporan polis tetapi kuasa untuk meneruskan terletak kepada pihak pendakwaan.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi 2 Mac tahun lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama. - Sinar Harian