KUALA LUMPUR: Diapit oleh aktivis hak asasi manusia, Angelia Pranthaman hanya duduk sambil mendiamkan diri. Sekali-sekala dia menyeka air mata yang mengalir di pipinya.

Pada sidang media anjuran Amnesty International Malaysia dan Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia (ADPAN) itu, dia dan para aktivis sekali lagi meminta sokongan masyarakat serta merayu kepada kerajaan agar campur tangan bagi pihak rakyat Malaysia yang sedang berdepan hukuman mati di luar negara, termasuk adik lelakinya Pannir Selvam.

Lelaki berusia 37 tahun itu merupakan banduan akhir di Penjara Changi, Singapura selepas disabitkan dengan kesalahan menyeludup 51.84 gram diamorphine, iaitu sejenis dadah heroin, pada 2017. Dia mungkin menjalani hukuman gantung pada bila-bila masa selepas rayuan terakhirnya ditolak.

Oleh sebab tahun ini merupakan giliran Malaysia menjadi pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Angelia dan mereka yang berkenaan berharap kedudukan itu akan menjadi dorongan untuk Malaysia campur tangan dalam kes Panir dan juga kes lain. Kedua-duanya, Malaysia dan Singapura, merupakan negara pengasas ASEAN.

Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia sebelum ini menggesa Malaysia agar memanfaatkan kedudukannya itu bagi menggalakkan negara anggota menimbang semula penggunaan hukuman mati dan berusaha ke arah pemansuhan hukuman itu.

Angelia secara langsung merayu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membantu.

"Kami sudah tidak berdaya lagi dan tidak mampu bersuara menentang mereka yang memegang kuasa," kata Angelia.

"Yang mampu saya katakan hanya ini: Tolong selamatkan adik saya. Dia telah berusaha sedaya upaya dan kami juga sudah lakukan setakat termampu, jadi, tolong selamatkan dia."

Selain Pannir, dipercayai ada 10 orang lagi rakyat Malaysia sedang menunggu hukuman gantung, majoritinya kerana kesalahan menyeludup dadah ke negara pulau itu. Usaha menyelamatkan mereka akan menguji diplomasi dan kepimpinan.

Namun, persoalannya di sini bukan "adakah usaha itu akan berjaya?" tetapi lebih kepada "patutkah kita cuba?"

TIADA TOLAK ANSUR

Hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah di sesebuah negara merupakan sesuatu yang biasa di rantau ini. Malaysia juga pernah melaksanakan hukuman itu ke atas mereka yang didapati bersalah mengedar dadah dengan jumlah tertentu hinggalah hukuman mandatori tersebut dimansuhkan pada 2023. Hakim diberi kuasa menggunakan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman sama ada penjara seumur hidup atau gantung sampai mati.

Singapura bagaimanapun masih mengenakan hukuman itu ke atas mereka yang ditemukan bersama-sama sejumlah dadah. Menurut undang-undang, dadah yang melebihi jumlah tertentu ditafsirkan sebagai niat untuk mengedar atau menjual.

Ketika ditahan, berat heroin yang ditemukan pada Pannir melebihi jumlah ditetapkan sebanyak 36.84 gram.

Singapura mengamalkan dasar tidak bertolak ansur dalam kes melibatkan rasuah dan dadah. Walaupun mereka menerima pelbagai pengiktirafan susulan kejayaan membanteras rasuah menerusi dasar itu, komitmen mereka dalam melaksanakan dasar tersebut terhadap kes dadah dengan menjadikan hukuman mati sebagai hukuman dan pencegahan, adalah perkara berbeza.

Sekalipun dikecam oleh pelbagai pihak, Singapura kekal sebagai penyokong tegar hukuman mati bagi kesalahan dadah, mengundi "TIDAK" setiap kali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengusulkan resolusi agar negara-negara anggota melaksanakan moratorium hukuman mati.

Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang Singapura K Shanmugam dilapor menyifatkan perang ke atas dadah di negara itu sebagai "pertempuran eksistensial" dan berkata sebarang kelonggaran dalam pendirian kerajaan akan memburukkan lagi keadaan.

"Dalam perang ini, kita akan putuskan: adakah kita mahu berlembut dan berisiko menjadi seperti negara-negara yang saya sebutkan tadi (Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat)? Adakah kita mahu menjadi 'negara narkotik' atau 'brown town' atau pusat dadah dan keganasan?" katanya dalam kenyataan di Parlimen pada Mei 2024.

Malaysia sebelum ini pernah cuba campur tangan dalam kes Nagaenthran K. Dharmalingam atas faktor dia mempunyai masalah intelek. Singapura menolak rayuan Malaysia dan hukuman ke atas lelaki itu dijalankan pada 2022.

TERLALU TIPIS

Malaysia juga pernah cuba campur tangan dalam kes Pannir. Dalam temu bual dengan akhbar harian Singapura, The Straits Times pada Mei 2019, Shanmugam berkata Singapura tidak boleh membuat sebarang pengecualian untuk rakyat Malaysia yang dihukum mati kerana ia akan menjejaskan kedaulatan undang-undang.

"Tidak wajar untuk memberikan moratorium khas kepada rakyat Malaysia tetapi mengenakan hukuman itu ke atas orang lain, termasuk rakyat Singapura yang disabitkan kesalahan dengan hukuman mati," katanya kepada akhbar itu.

Beliau berkata pada 2018, rakyat Malaysia mewakili hampir 30 peratus daripada pengedar dadah yang ditangkap di Singapura dan hampir 30 peratus daripada heroin yang dirampas di negara itu dibawa masuk oleh rakyat Malaysia.

Tambah beliau lagi, seorang daripada lima pengedar yang membawa masuk dadah melebihi jumlah minimum ke negara itu juga rakyat Malaysia.

Kenyataan susulan Shanmugam dan keputusan mahkamah yang mengekalkan hukuman mati ke atas Pannir serta banduan lain, mengukuhkan komitmen mereka. Cubaan campur tangan sekali lagi mungkin hanya sia-sia.

Bagaimanapun pakar dari kedua-dua negara berpendapat tidak rugi untuk mencuba lagi.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata Malaysia menghormati sistem kehakiman Singapura, namun beliau menggesa kerajaan agar mencuba sekali lagi.

"Saya rasa ini adalah kes yang wajar untuk Perdana Menteri dan Peguam Negara campur tangan serta mengambil langkah yang lebih proaktif. Saya gesa mereka untuk berbuat demikian. Akan tetapi, pada masa ini... setakat yang saya tahu kita masih belum melihat sebarang langkah proaktif," katanya.

Wartawan bebas dan aktivis pemansuhan hukuman mati dari Singapura, Kirsten Han berkata walaupun beliau tidak meminta mana-mana negara memaksa negara lain menuruti kehendak negara berkenaan, beliau percaya "Malaysia sekurang-kurangnya boleh memperjuangkan dengan tegas hak warganya yang berdepan hukuman mati di luar negara."

Tambah beliau "(Malaysia juga perlu) menunjukkan komitmen dengan meneruskan langkah ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati."

Aktivis hak asasi manusia Kasthuriraan Patto mencadangkan agar Singapura membenarkan warga asing yang menunggu hukuman mati atas kesalahan dadah di republik itu dihantar pulang ke negara asal mereka untuk menjalani baki hukuman.

"Dua rakyat Malaysia ditahan di Teluk Guantanamo selepas mengaku salah menjadi pembawa wang untuk membiayai kegiatan pengganas, dibebaskan pada Disember 2024, namun akan menjalani rehabilitasi komprehensif serta penilaian sebelum pulang ke pangkuan masyarakat. Pastinya Kerajaan MADANI juga boleh menggunakan prinsip sama dalam kes Pannir," katanya pada sidang media.

Beliau turut memetik kes Mary Jane Veloso yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah di Indonesia - sebuah lagi negara pengasas ASEAN - pada 2010. Rakyat Filipina itu dihantar pulang ke negara asalnya bulan lepas dan sedang menunggu pengampunan daripada presiden negaranya.

GOYAH

Satu daripada alasan yang kerap dipetik dalam menjelaskan komitmen Singapura terhadap hukuman mati ke atas kes pengedaran dadah yang tidak melibatkan keganasan ialah sokongan orang awam. Singapura gemar memetik tiga kajian yang dijalankan oleh kerajaannya yang menunjukkan sokongan padu rakyat terhadap dasar-dasar semasa.

Dalam temu bual dengan The Straits Times, Shanmugam berkata hukuman mati dikenakan kerana ada bukti menunjukkan keberkesanannya sebagai langkah pencegahan.

"Dan kami tidak akan terpesong daripada melakukan perkara yang baik untuk Singapura," beliau dipetik berkata.

Han yang merupakan ahli Transformative Justice Collective, sebuah gerakan berpangkalan di Singapura, bagaimanapun berasa sangsi dengan kebenaran kajian-kajian tersebut.

"Kebanyakan penemuan kerajaan adalah berdasarkan tinjauan mereka sendiri dan mereka sering membuat kenyataan gah tentang dapatan tinjauan berbanding keadaan sebenar. Contohnya, mereka mendakwa hasil tinjauan membuktikan hukuman mati adalah pencegah, namun penemuan sebenar menunjukkan rakyat percaya hukuman mati adalah pencegah, iaitu sesuatu yang membawa maksud berbeza," katanya.

Dakwa beliau, rakyat Singapura juga tidak begitu mengetahui tentang hukuman mati dan perang ke atas dadah.

Analisis oleh Mai Sato daripada Monash University ke atas kajian-kajian tersebut, menyokong hujah Han. Menurutnya, dapatan kajian mungkin tidak sekuat yang didakwa oleh kerajaan.

"Kajian yang diteliti dalam artikel ini tidak mewajibkan kerajaan mengekalkan hukuman mati. Berdasarkan penyelidikan Kementerian Dalam Negeri, bukti semasa tentang kesan pencegahan yang dibawa oleh hukuman mati dalam kes penyeludupan dadah terlalu lemah untuk membuktikan keberkesanannya. Selain itu, rakyat Singapura juga kelihatan tidak mendesak agar hukuman mati bagi pengedaran dadah dikekalkan. Siapa dan untuk apa hukuman mati dilaksanakan di Singapura masih belum terjawab," tulisnya.

Bernama bercakap dengan beberapa orang rakyat Singapura tentang hukuman mati ke atas keldai dadah. Rata-rata menentang penggunaan hukuman mati bagi kes dadah yang tidak melibatkan keganasan, sekalipun kesemua mereka menyokong hukuman mati.

Seorang rakyat Singapura yang meminta dikenali sebagai Fahmi, memberitahu Bernama yang dia bersetuju dengan kerajaannya dan menyokong hukuman mati ke atas pengedar dadah termasuk si pembawa kerana kesan buruk dadah ke atas masyarakat.

Bagaimanapun katanya hukuman mati tidak begitu berjaya sebagai langkah pencegahan kerana manusia akan sentiasa tergoda untuk mencuba "demi wang dan kemewahan."

Yang lain-lain tidak senada dengannya walaupun mereka menyokong hukuman mati berdasarkan keadaan.

Seorang lagi yang mahu dikenali sebagai Edward, berpandangan hukuman mati hanya untuk jenayah paling teruk.

"Saya rasa hukuman mati hanya patut dikenakan ke atas sebilangan kecil kes tertentu, itupun kalau ada, dan mengedar dadah bukan sebahagian daripada kes sedemikian," katanya menerusi WhatsApp.

Tambahnya, walaupun berisiko dikenakan hukuman mati, ada yang masih bersedia membawa masuk dadah ke Singapura demi wang, sekali gus menunjukkan hukuman itu bukan pencegah seperti yang didakwa oleh kerajaan.

"Maria" bersetuju. Kata wanita yang menggunakan nama samaran itu, dia bagaimanapun percaya hukuman mati mungkin membuatkan seseorang berfikir dua kali tentang membawa masuk atau menjual dadah di Singapura.

Kedua-dua mereka bersetuju kerajaan harus menimbang semula pendekatannya dalam menangani isu pengedaran dadah dan menyemak semula undang-undang tentang hukuman mati bagi kesalahan dadah.

Oleh yang demikian, jawapan bagi soalan sebelum ini ialah ya, Malaysia patut cuba walau apapun keputusannya.

"Lagipun nyawa tetap nyawa," kata Maria.

-- BERNAMA