Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ia penting sebagai persediaan dalam menghadapi cabaran lebih besar pada tahun ini.
"Pencapaian tahun lepas memperlihatkan satu tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan. Tahun lepas menjadi batu loncatan untuk kita terus berusaha mempertingkatkan perkhidmatan, penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya.
"Saya berharap kita semua akan terus bersemangat dan bersedia menghadapi cabaran 2025 dengan lebih cemerlang," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar JPJ Pulau Pinang bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Surau Ar-Rahman JPJ Pulau Pinang, di sini, pada Selasa.
Kira-kira 500 tetamu menghadiri majlis berkenaan dan turut diadakan penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak penghuni Inapan Kasih Sayang Kepala Batas.
Dalam pada itu, seiring dengan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan jalan raya dan memelihara ketenteraman awam, Aedy Fadly berkata, kerjasama kukuh antara pihak JPJ dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjadi asas penting dalam kejayaan setiap operasi penguatkuasaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan secara bersama.
Menurut beliau, program Mylesen B2 yang dijalankan tahun lepas umpamanya, telah memanfaatkan 2,499 individu di Pulau Pinang sekali gus membantu memudahkan pergerakan mereka bagi menguruskan aktiviti ekonomi setempat seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama strategik terbabit dapat diteruskan dan diperkukuh demi mencapai matlamat yang lebih besar dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Di samping itu, beliau berkata, pihaknya juga akan meningkatkan penguatkuasaan Perception of Being Caught (POBC) dengan memfokuskan tiga daerah yang paling tinggi mencatatkan kemalangan dan kemalangan maut iaitu Daerah Seberang Perai Tengah, Timur Laut dan Seberang Perai Utara.
"Pelbagai operasi telah diadakan sepanjang 2024 dan akan dilebarkan pada tahun ini melalui kolaborasi bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen (JIM), pihak berkuasa tempatan (PBT) , dan kerajaan negeri.
"Penguatkuasaan secara kolaboratif secara tidak langsung akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan tindakan terhadap pesalah jalan raya secara holistik dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya," katanya.
Aedy Fadly berkata, pihaknya juga akan mempergiatkan program advokasi dan kempen keselamatan jalan raya serta pendidikan secara terus kepada komuniti terutamanya di kawasan yang berisiko dan kerap berlakunya kemalangan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya aspek keselamatan jalan raya. - BERNAMA
