Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,400 dan satu tuduhan meminta rasuah RM30,000 berhubung sindiket dokumen perjalanan palsu, tahun lepas.
Abu Bakar Gembor, 45, yang ketika kejadian bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada empat orang anak itu didakwa atas kapasitinya sebagai seorang ejen kerajaan iaitu anggota polis telah secara rasuah meminta suapan wang berjumlah RM30,000 daripada Loo Kwi Faa, 44, sebagai dorongan untuk melepaskan Loo dan Choong Yew Min, 29, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket pasport/permit/visa dan cop perjalanan keluar masuk warga asing yang palsu.
Dia juga dituduh atas jawatan sama telah secara rasuah memperoleh suapan wang berjumlah RM3,000 daripada Loo dan Choong sebagai dorongan untuk melepaskan mereka dari ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti serupa.
Bagi pertuduhan ketiga, Abu Bakar didakwa dengan jawatan sama telah secara rasuah memperoleh suapan wang berjumlah RM400 daripada kedua-dua individu sama sebagai upah kerana telah memulangkan kunci kereta jenis Toyota Vios milik Loo.
Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa dilakukannya di restoran Chon Sai Kei di Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Entrepreneurs Park, dekat sini, antara 18 dan 29 Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pertama Abu Bakar dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pertuduhan kedua dan ketiga tertuduh didakwa mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Semua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Abu Bakar yang diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai dan 17 Dis ditetapkan untuk sebutan kes.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Rashid Sulaiman menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 untuk semua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport ke mahkamah.
Mohd Shahrullah memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah iaitu RM5,000 memandangkan isteri anak guamnya yang akan menjadi penjamin bekerja sebagai kerani di sebuah bank dan hanya mempunyai simpanan sebanyak RM5,000.
"Tiada kemungkinan untuk anak guam saya tidak hadir ke mahkamah kerana sepanjang tempoh siasatan selama 14 bulan dia sentiasa memberi kerjasama setiap kali dipanggil memberi keterangan di SPRM," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Nov 07 2018

Mahkamah membenarkan Abu Bakar yang diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan. - Gambar hiasan

Jualan 'gummy' dalam talian masih aktif
Produk ini dijual pada harga serendah RM6.50 sebalang dan mendapat sambutan hangat.
Kerajaan perkukuh inisiatif Astro-Tourism, anjur perkelahan astronomi
Kerajaan terus memperkukuh usaha memasyarakatkan dan membudayakan bidang astronomi dan sains angkasa menerusi pelbagai aktiviti dan program berbentuk pembelajaran sains bukan formal secara interaktif.

Keadaan Paus Francis masih 'kritikal' - Vatican
Vatican turut memaklumkan bahawa ketua gereja Katolik itu masih belum "bebas daripada bahaya."
Trump dakwa capai perjanjian dengan Ukraine
Presiden Donald Trump berkata pada Sabtu bahawa Amerika Syarikat telah menutup perjanjian dengan Ukraine mengenai perkongsian hasil daripada galian Ukraine sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan perang

Fadillah sertai lebih 4,000 peserta larian kesedaran autisme
Penganjuran program berkenaan mampu memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk lebih peka terhadap situasi golongan autisme.
12 termasuk kanak-kanak, bayi terperangkap dalam lif
Seramai 12 individu termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi perempuan terperangkap dalam lif di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
AWANI Ringkas: Dua rakyat Israel yang dibebaskan dalam kesihatan baik
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.

EPL: Sensasi Asensio buat Chelsea gigit jari
Asensio menjaringkan gol kemenangan Villa pada minit ke-89 hasil kesilapan penjaga gol Chelsea, Filip Jorgensen.

Saya kehilangan sahabat baik - MB Perak
Menurutnya, secara peribadi hubungan mereka baik sejak sebelum Allahyarham menjadi Ketua UMNO Bahagian Tapah pada 2018.

Muhammad Kamil akan umum keputusan tanding Ketua AMK
Katanya, walaupun kesemua 14 AMK negeri telah nyatakan sokongan terhadapnya, beliau perlukan sedikit masa untuk mempertimbangkannya.

Anggota polis mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan rasuah
Abu Bakar Gembor, 45, yang ketika kejadian bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi.