PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan hari ini mengadakan pertemuan empat mata di Kompleks Perdana Putra.

Erdogan kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam, atas jemputan Anwar.

Pertemuan yang bermula selepas upacara sambutan rasmi, berlangsung hampir satu jam. Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya meneruskannya dengan mesyuarat dua hala.

Antara agenda utama ialah meninjau kemajuan hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Malaysia-Turkiye, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, halal, kerjasama tenaga, pengurusan bencana, kesihatan, sains dan teknologi serta kesalinghubungan.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa, yang menjadi kepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, penganjuran Forum Diplomasi Antalya ke-4 oleh Turkiye pada 2025, isu Islamofobia, serta perjanjian gencatan senjata terbaru di Gaza.

Hubungan Malaysia dan Turkiye kekal kukuh berdasarkan hubungan yang telah lama terjalin, khususnya selepas hubungan kedua-dua negara dinaik taraf ke peringkat CSP pada Julai 2022.

Sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, Turkiye berada dalam kedudukan strategik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN.

Turkiye menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada tahun 2017, dengan Rangka Kerjasama Praktikal ASEAN-Turkiye (2024-2028) berfungsi sebagai rangka kerja bagi kerjasama strategik antara ASEAN dan Turkiye.

-- BERNAMA