ASTANA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi dua hari beliau ke Kazakhstan dengan mengunjungi Masjid Besar Astana yang terletak di sepanjang Laluan Sutera di sini hari ini.
Anwar tiba di masjid itu pada 2.20 petang waktu tempatan (5.20 petang waktu Malaysia) dan disambut mesra oleh Datuk Bandar Astana Zhenis Kassymbek.
Turut menyambut kehadiran beliau ialah Mufti Besar masjid itu Nauryzbai Taganuly Optenov, yang juga Pengerusi Pentadbiran Kerohanian Muslim Kazakhstan (MUFTYAT).
Sepanjang kunjungan selama 20 minit itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat dan mendengar taklimat Kassymbek mengenai pembinaan masjid berkenaan yang siap pada 2022 serta boleh memuatkan kira-kira 235,000 orang.
Kunjungan Anwar ke masjid itu disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar serta Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah.
Nursultan Nazarbayev, pemerintah Kazakhstan sejak ia merdeka pada 1991, turut mengambil bahagian dalam upacara peletakan batu asas masjid itu pada Mac 2019.
Selain itu, empat menara di sekelilingnya, masing-masing mencecah ketinggian 130 meter, dibina dalam lima bahagian berasingan yang mewakili lima Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat fardu lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat serta mengerjakan ibadah haji bagi yang mampu.
Kazakhstan, negara kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.
Lawatan Anwar ke Kazakhstan menandakan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dengan negara itu yang terjalin sejak 16 Mac 1992, merangkumi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, industri halal dan lain-lain untuk manfaat bersama.
Selepas ini, Perdana Menteri akan menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Ak Orda) sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala untuk perbincangan yang lebih meluas membabitkan delegasi masing-masing.
Satu Kenyataan Bersama akan ditandatangani susulan mesyuarat itu sebelum Anwar dan delegasi Malaysia diraikan dengan majlis makan malam yang dihoskan oleh Tokayev.
Sebelum mengakhiri lawatannya esok, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kazakhstan di sini.
Perdana Menteri Kazakhstan Olzhas Bektenov turut dijadual menghadiri sesi itu yang bertujuan memupuk kerjasama serta perkongsian antara syarikat kedua-dua negara dalam sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Anwar juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan agensi kerajaan dan perniagaan berkaitan daripada kedua-dua pihak.
Nilai dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 ialah RM474.5 juta (US$104.2 juta), dengan RM465.6 juta (US$102.2 juta) merupakan eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan dan RM8.9 juta (US$1.9 juta) ialah nilai import dari Kazakhstan.
Anwar sebelum ini telah mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz.
Selepas Kazakhstan, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan rasmi ke Uzbekistan.
-- BERNAMA
Bernama
Thu May 16 2024

Anwar tiba di masjid itu pada 2.20 petang waktu tempatan (5.20 petang waktu Malaysia) dan disambut mesra oleh Datuk Bandar Astana Zhenis Kassymbek. - Gambar Afiq Hambali/PMO

RUU Pembaharuan Semula Bandar dapat tingkatkan kualiti hidup pemilik - Exco P.Pinang
Kerajaan negeri melalui LPNPP telah mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) pada 2022.

Paus Francis berehat selepas dimasukkan ke hospital - Vatican
Ketua Gereja Katolik berusia 88 tahun itu telah menerima rawatan di Hospital Gemelli di Rom selama seminggu.
10 Berita Pilihan - (22 Februari 2025)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Tumpuan Ahad – 23 Februari 2025
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.

Faizal Saari umum bersara daripada hoki antarabangsa
Namun, Faizal menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL serta Piala Tun Abdul Razak.

Penantian berakhir, Selangor FC julang Piala Cabaran
Selangor FC menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya dengan agregat 7-0 ke atas PDRM FC untuk julung kali menjulang Piala Cabaran.
China kesan satu lagi varian baharu Koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia mampu lonjak ekonomi negara
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 mampu melonjakkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan.
Tambah baik peraturan makanan sedia ada
Mengambil contoh penjualan produk gummy, Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Aqilah Amalina Jaafar berpandangan, makanan itu masih lagi dijual di pelbagai platform, walaupun ia bertentangan dengan peraturan sedia.
Kerajaan lipat ganda basmi kemiskinan tegar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar akan dilipatgandakan dan diteruskan dengan lebih agresif di seluruh negara.

Anwar mulakan lawatan rasmi ke Kazakhstan dengan kunjungan ke Masjid Besar Astana
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi dua hari beliau ke Kazakhstan dengan mengunjungi Masjid Besar Astana yang terletak di sepanjang Laluan Sutera di sini hari ini.