MORIB: Sebut sahaja nama Pantai Morib di Selangor, sudah pasti itu bukan nama yang asing sebagai destinasi tumpuan pelancong, tidak kira untuk kunjungan warga tempatan mahupun luar negara.
Bagaimanapun, nama yang gah itu mungkin sekadar menjadi sejarah dan mungkin dipandang sinis sekiranya tarikan pemandangan alam yang sepatutnya tenang dan indah kini dicemari dengan masalah sampah sarap yang terbiar.
Hakikatnya ketika ini, jika datang ke Pantai Morib, pemandangan laut sememangnya indah, namun pengunjung perlu juga bersedia dengan pemandangan menyakitkan mata iaitu sampah sarap yang banyak di sebalik tebing batunya.
Ada kalanya, keadaan sisa makanan dan sampah berselerakan itu mungkin mendatangkan 'rezeki' buat kumpulan monyet liar sebagai makhluk yang kurang berakal. Namun, pada masa sama, ia juga membuktikan kedangkalan sivik manusia yang datang berkunjung atau mungkin sikap pihak bertanggungjawab yang tidak ambil peduli.
Dalam hal ini, siapa meniru sikap siapa?
Bahkan, dalam tinjauan yang dibuat, ruangan longkang juga terisi sampah. Lebih buruk, ada sebahagian kawasan perparitan yang mula tersumbat dan keadaan itu juga sudah cukup menggambarkan bagaimana pula akan baunya.
Tong sampah juga kelihatan padat dengan bahan buangan sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana pula tentang penjadualan pengurusan kebersihan oleh pihak kontraktor yang dilantik.
Situasi kotor di Pantai Morib menjadi begitu kontras, kalau dibandingkan dengan sebuah hamparan padang golf yang terletak betul-betul bersebelahan, namun ditata dengan rapi.
Itu baru cerita sampah. Dari aspek infrastruktur pula, ada sebahagiannya yang jelas mencacatkan pemandangan apabila melihat kepada struktur bumbung bangunan yang hampir rebah dan rosak.
Ini termasuk atap genting beberapa pondok rehat yang sudah rosak, mudah menggelongsor jatuh lalu pecah berderai, dikhuatiri hanya menanti masa untuk sesiapa yang malang mendapat cedera.
Pos pengawal juga berdepan nasib yang sama - karat, rosak dan terbiar tanpa sebarang tindakan yang drastik. Adakah situasi sebegitu sudah dianggap 'membanggakan' buat sebuah destinasi pelancongan yang masih kekal dalam risalah pelancongan negeri itu?
Pada sudut lain, keadaan siling di pos pengawal itu yang berlubang di bangunan medan selera dibimbangi hanya akan memanfaatkan haiwan seperti monyet liar untuk dijadikan tempat berteduh.
Menurut salah seorang pengunjung, Mohd Azizi Misbahulmunir, melihat kepada keadaan itu, ia sedikit sebanyak mengundang persepsi negatif terhadap pengunjung luar.
“Keadaan sampah kalau begini beri tanggapan buruk kepada orang luar, tong sampah pun banyak penuh apatah lagi pondok untuk keluarga berehat dah jadi kawasan haiwan liar. Pihak berkuasa perlu buka mata," luahnya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Tidaklah meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan, seorang lagi yang ditemui, Mior Zamri Mior Husin, pula berpendapat sikap pengunjung sendiri menyebabkan Pantai Morib menjadi tercemar.
“Lebih buruk bila waktu hujung minggu, memang lagi banyak sampah, ya lah.. tong sampah bukan tidak disediakan tetapi pengunjung pun lepas makan, campak merata!
“Ada yang datang bawa makan dari luar jadi lepas makan ada yang tak buang sampah, sama ada mereka tinggalkan atau campak terus belakang tembok (tebing) batu,” katanya.
Keluhan tentang nasib Pantai Morib bukan sahaja datang dari pengunjung luar, malah dari mereka yang mencari rezeki di pantai itu.
Golongan peniaga sendiri sudah pasti mengharapkan pendapatan daripada pengunjung yang hadir namun setiap kali hujan lebat, ia membawa kerugian buat mereka.
Mana tidaknya, oleh kerana kelemahan sistem saliran, ada kalanya kawasan medan selera bertukar seperti 'taman tema air' kerana berlaku banjir di ruangan tersebut.
Ibarat binaan berbumbung yang tidak menjanjikan keselesaan, tidak mustahil jika pelanggan terpaksa berendam kaki waktu hendak menjamu selera, atau basah sama sekali kerana tidak wujud fungsi teduhan.
Realitinya, sudah wujud beberapa cadangan pembangunan dan aktiviti untuk merancakkan ekonomi di Pantai Morib, namun ada pihak yang mendakwa ia seolah-olah terhenti di tengah jalan.
Timbul juga tanda tanya kemanakah perginya saluran peruntukan, atau lebih serius, adakah mungkin wujud ketirisan dalam isu ini?
Astro AWANI akan cuba mendapatkan penjelasan pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi menjawab segala persoalan berbangkit.
Ikuti laporan khas tentang isu ini pada malam ini, di AWANI 745.
Hilmi Malik
Sat Jul 23 2022
Nilai pelancongan Pantai Morib semakin terhakis sekiranya sampah terus 'menghiasi' pemandangan di kawasan yang terkenal itu. - Astro AWANI
Pengharaman TikTok: Aplikasi RedNote jadi tumpuan pengguna AS
Pengguna di China mengalu-alukan pengguna baharu dari Amerika Syarikat dan bertukar pendapat mengenai topik seperti makanan dan pengangguran belia.
AS tegaskan semula sokongan untuk Korea Selatan, puji usaha tegakkan perlembagaan
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih mengeluarkan kenyataan, menegaskan semula komitmen teguh Amerika terhadap Korea Selatan.
Tiga rakyat China dipenjara 7 tahun, terlibat aktiviti perlombongan haram
Cheng Chang Fu, Wan Ling Wu dan Cheng Hai-Yan juga dikehendaki membayar denda bersamaan $600,000 serta disenarai hitam daripada memasuki negara itu secara kekal.
PM Thailand jadi sasaran 'scammer' guna AI
Paetongtarn mendedahkan bahawa beliau hampir terpedaya dengan penipuan itu, apabila seorang penyamar menggunakan suara pemimpin berkenaan dan mendakwa beliau gagal membuat sumbangan tertentu.
Pengarang nafi terlibat serangan seksual lapan wanita
Dakwaan empat daripada mereka telah disiarkan pada Julai lalu dalam podcast Tortoise Media.
Annuar boleh hidup dengan angan-angan - Fahmi
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil menyindir Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa agar boleh meneruskan hidupnya dengan angan-angan.
Fahmi ingatkan rakyat di kawasan berisiko supaya waspada
Rakyat di kawasan berisiko di selatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak diingatkan untuk berwaspada dan bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir akibat luruan monsun.
Malaysia terus perkukuh kedudukan sebagai destinasi utama - Fahmi
Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama pelaburan asing apabila Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.
Proses ujian Aerotrain masih berjalan - Loke
Proses penyelesaian projek Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) masih di peringkat ujian pelbagai fasa.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kontraktor yang terlibat sedang melaksanakan ujian dinamik dan beberapa ujian lain.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kontraktor yang terlibat sedang melaksanakan ujian dinamik dan beberapa ujian lain.
Bahan mentah ada sijil halal JAKIM - Syarikat pembekal
Syarikat pembekal sandwich kontroversi, Shake And Bake Cafe Sdn Bhd mendedahkan bahan mentah digunakan dalam pembuatan makanan itu memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pantai Morib ditutup kepada orang ramai, peniaga sehingga 2 Julai
Kawasan rekreasi di Pantai Morib, Banting ditutup kepada orang awam dan peniaga sehingga 2 Julai depan.
Lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan
Polis Kuala Langat menerima panggilan daripada orang awam pada 12.15 tengah hari berhubung penemuan mayat mangsa.
Apa nasib Pantai Morib? Bukan udang di sebalik batu, tetapi sampah!
Pantai Morib yang gah dengan nama pelancongan mungkin hanya tinggal sejarah apabila pemandangan laut lebih disajikan dengan sampah terbiar.
'Waspada fenomena air pasang besar'
MPKL akan menggerakkan anggota pemantauan di beberapa kawasan yang dikenal pasti akan mengalami limpahan air laut.
15 kedai di Pantai Morib musnah dijilat api
Kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh dua jam dan keseluruhan kerosakan melibatkan 60 peratus deretan kedai.