SEREMBAN: Usaha kerajaan negeri melancarkan tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan iaitu sebahagian daripada projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza bakal memberi manfaat bermakna kepada penduduk Gaza dan menjadi contoh pembangunan berasaskan wakaf di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang juga pengasas dan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza Datuk Sani Araby berkata usaha itu sekali gus menunjukkan sokongan Negeri Sembilan untuk turut serta membangunkan semula Gaza.

"Negeri Sembilan merupakan antara negeri awal menyahut hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyatakan kesediaan untuk bersama-sama membina semula Gaza termasuk menerusi pembinaan apartmen wakaf.

"Kita mahu buktikan bahawa walaupun kita tidak mampu menyelesaikan keseluruhan masalah, setidak-tidaknya dengan agenda MADANI, kita dapat menjadi rujukan bahawa Negeri Sembilan juga mempunyai apartmen wakaf. Usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan seluruh pihak," katanya.

Sani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Peluncuran Tabung Apartmen Wakaf Negeri Sembilan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Beliau berkata projek Bandar Wakaf Malaysia dianggarkan bernilai RM120 juta dan meliputi pemberian tanah wakaf seluas 35.2 hektar telah menerima persetujuan wakaf bernilai RM44 juta setakat ini.

"Setiap apartmen dalam bandar itu bernilai RM4.5 juta dan akan memanfaatkan 224 anggota masyarakat membabitkan 28 keluarga. Selain itu bandar wakaf juga memberi peluang kerja kepada kira-kira 36,000 individu dalam pelbagai segmen pekerjaan.

"Kita sangat optimis dan usaha murni ini tidak akan berjaya tanpa sokongan seluruh pihak. Jadi kita sekarang bergerak di landasan sepatutnya mengikut agenda disarankan Perdana Menteri (untuk menjayakan bandar wakaf itu)," katanya.

Sementara itu, Aminuddin menyifatkan pembinaan apartmen itu sebagai peluang untuk menyatakan kebersamaan dengan Palestin menerusi pemberian bantuan terhadap keperluan utama penduduk selain memperkenalkan model pembangunan wakaf di Palestin.

"Hari ini kita menyerahkan RM1 juta untuk MAPIM melakukan kerja awalan. Kita harap dapat mengumpul lebih daripada RM4.5 juta. (Hal ini) bukan sahaja untuk menyediakan apartmen wakaf, tetapi juga bagi pengisian bandar baharu, yang turut penting.

"Diharapkan masyarakat mengambil peluang sempena Ramadan untuk bersedekah. Insya-Allah, ini merupakan hadiah istimewa untuk penduduk Palestin pada Ramadan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri berkata Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan ditanggung penduduk Palestin dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan rakyat.

Projek Bandar Wakaf Malaysia antara lain melibatkan 14 blok apartmen wakaf mewakili semua negeri dalam Malaysia selain masjid berkembar dengan Masjid Shah Alam, sekolah Malaysia, taman rekreasi, 56 unit premis perniagaan di bawah program Mikro-Kredit Khardul Hasan, klinik kesihatan dan menara tangki air, menjadikannya satu ekosistem pembangunan lengkap dan mampan.

Beberapa komponen utama bandar wakaf itu turut disumbangkan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Wakaf Malaysia, Cinta Gaza Malaysia dan Gagasan MyAqsa Defender serta turut mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan dan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac tahun lepas.

-- BERNAMA