JERTIH: Seekor ular sawa batik seberat 130 kilogram ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut di Kampung Batu 13, Hulu Besut dekat sini, Sabtu lepas.

Pegawai Operasinya Mohd Fazli Mat Yusof berkata lapan anggota termasuk tiga wanita telah ke lokasi setelah menerima laporan kehadiran reptilia itu pada 5.55 petang.

"Ular sawa sepanjang hampir enam meter itu berada di belakang rumah penduduk dan usaha menangkap mengambil masa kira-kira 15 minit.

"Ia dipercayai datang dari kebun sawit berhampiran kerana tertarik dengan ternakan di kawasan itu," katanya ketika ditemui di Pejabat APM Besut di sini hari ini.

Ular sawa berkenaan, katanya adalah yang terbesar daripada 18 ekor ular daripada spesies sama yang ditangkap sejak awal Januari tahun ini.

-- BERNAMA