KUALA LUMPUR: : Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ke-8, berkuat kuasa 30 Januari lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, Arman Rumaizi memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Pertahanan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2012. 

"Sebelum pelantikan ini, Arman Rumaizi memegang jawatan sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 2022.

"Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota serta Panglima Markas 2 Divisyen di Pulau Pinang.

"Antara jawatan penting lain, beliau pernah menjadi penasihat ketenteraan kepada mantan Menteri Pertahanan dari 2014 hingga 2018," kata KPT dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, KPT menzahirkan keyakinan bahawa pengalaman dan kepemimpinan Arman Rumaizi mampu memperkukuh tadbir urus UPNM.

"Beliau diharap dapat memacu pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan sains serta teknologi pertahanan bagi melahirkan bakat terbaik negara khususnya dalam sektor keselamatan. 

"KPT turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan Naib Canselor, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, atas jasa dan sumbangan beliau menerajui UPNM sebelum ini," ujarnya.