LANGKAWI: Menteri Luar dan pegawai peringkat tertinggi dari kesemua 10 negara anggota ASEAN tiba di sini hari ini, sempena Mesyuarat dan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan bermula esok.

Mesyuarat tersebut merupakan yang pertama daripada lebih 300 mesyuarat dan program yang akan dianjurkan sepanjang kepengerusian Malaysia tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Negeri berkata, acara tersebut dijangka menerima kedatangan lebih 200 delegasi ke Langkawi.

“Mesyuarat ini menandakan satu langkah penting dalam menetapkan nada dan agenda untuk kepengerusian Malaysia pada 2025, menjelang Pemukiman Menteri Luar ASEAN pada 19 Januari 2025, iaitu perhimpunan peringkat menteri yang pertama di bawah kepengerusian negara,” kata kementerian itu.

Pelbagai isu dijangka dibincangkan termasuk kerjasama ekonomi, pertikaian persempadanan Laut China Selatan, aturan dunia baharu di sebalik pentadbiran Donald Trump di Amerika Syarikat, serta konflik di Gaza dan Ukraine.

“Bagi memastikan kejayaan mesyuarat pegawai peringkat tinggi serta Pemukiman Menteri Luar ASEAN, Malaysia mengguna pakai pendekatan keseluruhan masyarakat (whole-of-society approach) bagi memaksimakan kepakaran semua pemegang taruh dan ahli komuniti.

“Usaha sama ini mengetengahkan kesediaan dan semangat Malaysia untuk mengalu-alukan kedatangan ASEAN ke negara ini, sekaligus menetapkan nada positif bagi memulakan tahun yang bakal dipenuhi aktiviti berimpak tinggi selaku Pengerusi,” tambah kenyataan itu.

Acara dua hari itu bakal dimulakan dengan mesyuarat antara pegawai-pegawai tertinggi Kementerlan Luar Negeri ASEAN pada Sabtu, diikuti Pemukiman Menteri Luar pada Ahad.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka mengadakan sidang media bagi menyimpulkan acara dua hari tersebut jam 1.15 tengah hari Ahad.