Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia selaras dengan konsep integrasi dan kebersamaan yang diketengahkan tahun ini, di mana kesemua negara anggota bekerjasama untuk merangsang pertumbuhan ekonomi satu sama lain.
“Ramai orang datang ke Malaysia dan mereka kemudiannya ingin pergi ke Singapura atau Thailand, atau mereka dari Thailand ingin turun ke Malaysia, tapi masih ada beberapa sekatan, semuanya isu pentadbiran.
“Jadi kita perlu meneliti perkara ini bersama-sama, iaitu cara terbaik kita boleh memastikan bahawa pelancong, apabila mereka berada di sini, mereka bebas untuk pergi ke mana-mana dalam ASEAN,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam sidang media seusai Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Tambah Mohamad, antara idea yang dibincangkan di peringkat awal termasuk konsep satu pemeriksaan ketika memasuki sempadan ASEAN, seperti Visa Schengen yang diamalkan di Kesatuan Eropah (EU).
Diperkenalkan pada 1985, Visa Schengen membolehkan pelancong bergerak bebas di 22 negara EU dan empat negara rakannya, tanpa memerlukan visa individu untuk setiap negara.
Tambahnya, Malaysia juga boleh berkongsi pengalamannya menguji dasar pelancongan yang lebih terbuka baru-baru ini.
“Sekarang Malaysia mempunyai dasar kemasukan tanpa visa selama 30 hari untuk pelancong dari China dan India.
“Tetapi bergerak ke hadapan, (matlamatnya adalah) visa yang sama boleh digunakan jika mereka datang ke Malaysia dan kemudian pergi ke Singapura, Thailand atau mana-mana negara di ASEAN,” katanya.
Pemerkasaan sektor pelancongan menjadi antara agenda tumpuan ASEAN tahun ini, di samping integrasi ekonomi, pertahanan dan keselamatan makanan.