KUALA LUMPUR: Ekonomi Asia Tenggara digesa untuk meningkatkan perdagangan dan memperkukuh kepusatan bagi melindungi negara mereka daripada keadaan global yang tidak menentu di tengah-tengah ancaman tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Tan Sri Nazir berkata walaupun negara-negara Asia Tenggara buat masa ini tidak berada dalam radar tarif Trump, ekonomi serantau perlu menumpu untuk mencapai sasaran dan keberhasilan yang realistik.

"Kita boleh mencari jalan untuk bekerjasama bagi mengurangkan kos dagangan dan memudahkan pergerakan logistik untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Nazir berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan terhadap perdagangan intra-ASEAN yang merosot 10.1 peratus kepada US$769.9 bilion (US$1=RM4.45) pada 2023 berbanding 2022 disebabkan keadaan ekonomi global dan cabaran dalaman dalam negara anggota ASEAN.

"Terdapat terlalu banyak sekatan ke atas perdagangan dan operasi rentas sempadan.

"Jika kita boleh mengurangkan halangan terhadap perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, maka tahap integrasi ekonomi dan jumlah perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN akan meningkat," katanya.

ASEAN-BAC telah diberi mandat oleh para pemimpin ASEAN untuk menyediakan maklum balas dan bimbingan sektor swasta bagi meningkatkan usaha rantau ini ke arah integrasi ekonomi sejak 2003.

Bagi tahun ini, Nazir berkata ASEAN-BAC mencadangkan 12 inisiatif termasuk Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) dan Prospektus ASEAN.

Menurutnya, ABE dicadangkan bagi menyokong syarikat yang layak dalam ASEAN, menawarkan kepada mereka pelbagai fleksibiliti operasi.

Dengan membolehkan negara anggota ASEAN menentukan sendiri kriteria untuk ABE, inisiatif ini bertujuan untuk memupuk fleksibiliti perniagaan yang lebih padu dan pertumbuhan serantau, katanya.

"Ia adalah untuk mana-mana syarikat yang kerajaan mahu beri kebenaran. Jika anda syarikat ABE, anda bebas menggerakkan pekerja dan modal dalam syarikat anda dan di rantau ini," katanya.

Mengimbas kembali ketika beliau menjadi pengerusi dan ketua pegawai eksekutif kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Nazir berkata pekerja boleh dipindahkan secara automatik dari Indonesia, Thailand dan Kemboja ke Malaysia kerana terdapat pergerakan bebas pekerja dalam CIMB.

"Saya sebenarnya beroperasi dalam ASEAN yang bersepadu," katanya.

Beliau bagaimanapun sedikit kesal kerana meskipun ASEAN, sebuah rantau yang digembar-gemburkan mempunyai populasi seramai 670 juta orang, tetapi apabila menjalankan perniagaan, ia berpecah-pecah kepada 10 pasaran. Jadi, sebenarnya pada peringkat syarikat (dengan ABE), ia bukan pasaran yang terpisah tetapi sebenarnya hanya satu pasaran."

Nazir berkata beliau akan membentangkan cadangan Prospektus ASEAN pada Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31di Desaru, Johor.

Permukiman AEM selama tiga hari itu berakhir hari ini.

"Saya telah membincangkan cadangan ini dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan berjumpa dengan semua pengawal selia sekuriti di ASEAN. Mereka dilihat menyukai idea ini, tetapi jika ingin ia dilaksanakan banyak perubahan yang perlu dilakukan di setiap negara.

"Jadi, nampaknya inisiatif Prospektus ASEAN ini akan mengambil masa. Saya tidak tahu berapa negara yang mampu melakukannya menjelang 2025. Tetapi jika ada dua negara (yang bersedia untuk menyenaraikan syarikat mereka), ia akan dilaksanakan,"

Nazir menegaskan bahawa ASEAN kini perlu menumpukan usaha untuk memperkukuh ekonomi serantau dan bersikap realistik dalam menetapkan matlamat berdasarkan pemahaman terhadap batasan yang ada.

"Kita perlu memberikan hasil. Retorik itu mudah kerana anda boleh berkata apa sahaja, tetapi bolehkah anda memberikan hasil?

"Saya berharap ASEAN, selepas pengalaman ini (ASEAN Charter), tidak terlalu banyak bercakap tetapi fokus pada penghasilan," katanya.

Nazir merujuk kepada ASEAN Charter pada tahun 2007 yang sangat cenderung ke arah mewujudkan rantau Asia Tenggara yang serupa dengan Kesatuan Eropah, dengan satu pangkalan pengeluaran dan pergerakan buruh yang bebas.

"Tetapi matlamat-matlamat itu tidak realistik," katanya.

Mengenai kritikan bahawa ASEAN agak ketinggalan dan tidak tegas dalam menangani cabaran serantau serta global, Nazir berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dijangka berdepan harapan yang tinggi kerana negara ini sering dianggap sebagai negara yang mampu menyelesaikan segala urusan.

"Perdana Menteri kita (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kini mempunyai kumpulan penasihat yang sangat berpengalaman seperti Thaksin dan Hun Sen, yang bermaksud beliau mendengar nasihat daripada tokoh-tokoh utama di ASEAN," katanya.

-- BERNAMA