Ringkasan AI
- Polis Kuala Lumpur mengerahkan lebih 9,000 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan sepanjang program dan mesyuarat semasa Kepengerusian ASEAN.
- Sebanyak 186 mesyuarat akan diadakan di kawasan Polis Kuala Lumpur sepanjang April, Mei, dan Oktober, termasuk 21 mesyuarat di Putrajaya.
- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menekankan keperluan persiapan dan kompetensi kepolisan moden untuk memastikan keselamatan negara kekal terjamin.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata sebanyak 186 mesyuarat dijangka diadakan di kawasan Polis Kuala Lumpur dalam bulan April, Mei dan Oktober nanti.
"Daripada jumlah itu, 21 mesyuarat akan diadakan di Putrajaya," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) di sini hari ini.
Rusdi berkata menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan Kuala Lumpur dilihat dalam keadaan baik dan selamat supaya tidak menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai terutamanya pengunjung dan delegasi dari luar negara.
"Selain itu, kita akan memastikan mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur berjalan dengan baik dan kelancaran trafik serta keselamatan kepada delegasi," katanya.
Beliau turut mengingatkan pegawai dan anggota polis supaya sentiasa bersiap siaga demi memastikan keselamatan negara kekal terjamin dan tidak mudah "berlapang dada" dengan keamanan dan kedamaian sehingga leka tanpa persiapan dan pengukuhan penugasan.
"Kita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai cabang kompetensi kepolisan moden," katanya.
Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
-- BERNAMA