GEORGE TOWN: ASEAN bersetuju untuk memperketat kawalan terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertahanan bagi mengelakkan pengaruh negatif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak menafikan, kematian ribuan orang awam yang berlaku dalam konflik di Asia Barat turut berpunca akibat salah guna AI.

“Jika tiada kawalan dan abai tanggungjawab, AI boleh membawa banyak kemudaratan. Itu punca ASEAN menerima resolusi ini bagi memastikan penggunaannya tidak mengancam nyawa manusia,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Batu Ferringhi, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan bagaimana ASEAN mengambil teladan daripada konflik di Asia Barat yang dikatakan banyak dipengaruhi elemen AI sewaktu peperangan.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, ASEAN juga menyedari keperluan merapatkan jurang AI antara negara anggota agar semua pihak mempunyai keupayaan setara dalam mempertahankan kedaulatan masing-masing.

Sesi Permukiman kali ini turut menyaksikan Jerman dan Turkiye diterima sebagai pemerhati dalam Program Pemerhati ADMM bagi tempoh 2024-2027 untuk mengukuhkan lagi rangka kerja keselamatan serantau ASEAN.

Khaled berkata, keputusan ini dibuat selepas permohonan mereka beberapa tahun lalu tidak mendapat persetujuan penuh negara anggota ASEAN.

“Penerimaan mereka membuktikan kepentingan ADMM dalam kerjasama keselamatan global. Malah, ia diterima ketika Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, menunjukkan negara ini mempunyai tahap (kepimpinan) luar biasa,” ujarnya.