Beliau berkata ASEAN sedang memantau dengan teliti perkembangan rundingan damai antara kedua-dua negara yang dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
"ASEAN telah menyatakan bahawa konflik itu boleh diselesaikan secara aman, dan ini sentiasa menjadi pendirian kami.
"Kami melihat perkembangan semasa sebagai inisiatif yang dimulakan oleh Presiden Trump. Diharapkan perkara itu dapat diselesaikan," katanya pada sidang media di sini hari ini selepas sesi tinjauan mesra sebagai persediaan Permukiman Menteri Pertahanan ASEA (ADMM).
Trump baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau telah berbincang dengan pemimpin Rusia dan Ukraine untuk memulakan rundingan damai serta menamatkan perang yang berlarutan sejak tiga tahun lepas.
Ketika ditanya mengenai perjanjian gencatan senjata yang goyah di Gaza, Mohamed Khaled berkata Malaysia menyokong perjanjian itu dan berharap semua pihak akan terus mematuhinya.
Bagaimanapun, beliau menyedari terdapat pelanggaran gencatan senjata memandangkan keengganan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk memenuhi perjanjian yang telah dicapai.
"Bagi Malaysia, kami jelas mengenai perkara itu. Kami menyokong gencatan senjata dan kami berharap semua pihak mematuhi keputusan gencatan senjata itu.
"Perkara ini antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan ketua-ketua ASEAN yang dijadualkan pada Mei," katanya.
Permukiman ADMM selama dua hari yang bermula hari ini menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN serta negeri pemerhati, Timor-Leste. Mesyuarat dua hala juga akan diadakan sempena permukiman itu.
Lebih 150 delegasi, termasuk wakil dari Sekretariat ASEAN dijangka menghadiri permukiman itu.
-- BERNAMA
