KUALA LUMPUR: Astro Audio menyambut baik keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana tidak menggantung lesen penyiaran radio Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra), yang merangkumi ERA FM, MIX FM dan MELODY FM.


Ringkasan AI
  • Astro Audio menyambut baik keputusan MCMC untuk tidak menggantung lesen penyiaran radio Maestra Broadcast Sdn Bhd, yang merangkumi ERA FM, MIX FM, dan MELODY FM.
  • Maestra dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 oleh MCMC, dan Astro Audio akan berhubung terus dengan MCMC mengenai perkara ini.
  • Astro Audio komited untuk membina semula kepercayaan pendengar dan memastikan kandungan mereka mencerminkan nilai-nilai saling menghormati dan perpaduan.


Astro dalam kenyataan berkata, pihak Astro Audio juga mengambil maklum mengenai kompaun sebanyak RM250,000 yang dikenakan ke atas Maestra dan akan berhubung terus dengan MCMC.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Daryl Smith dalam kenyataan sama berkata, “Kami di Astro Audio sangat berbangga dengan perkhidmatan yang disediakan, digemari oleh individu dan keluarga dari segenap lapisan masyarakat di seluruh Malaysia."

Jelas Euan, Astro kekal komited dalam mengangkat tema kepelbagaian dan perpaduan dalam setiap perkara yang dilakukan serta mengakui betapa besarnya kebimbangan dicetuskan akibat kekhilafan di ERA FM terhadap sebahagian masyarakat yang dilayani.

"Fokus kami kini adalah untuk membina semula kepercayaan yang telah dipupuk sekian lama oleh ERA FM bersama para pendengarnya.

"Pada masa yang sama, kami terus memberikan sokongan penuh kepada semua individu terlibat sambil beriltizam untuk berusaha belajar, menambah baik dan memastikan kandungan kami mencerminkan nilai-nilai saling menghormati dan terangkum," katanya.