JOHOR BAHRU: Negara-negara blok ASEAN mesti terus menjalin kerjasama erat dalam aspek rentas sempadan sebagai usaha menggalakkan kemasukan lebih pelancong ke negara rantau ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagaimanapun berkata, isu keselamatan tetap menjadi keutamaan dan ASEAN tidak akan sesekali berkompromi dalam hal tersebut.

‘’Kita (negara ASEAN) harus bekerjasama erat untuk meningkatkan nilai daripada pelancongan rentas sempadan yang datang ke negara-negara ASEAN.

‘’Seperti yang saya katakan, kita mesti mempermudah dasar, menggalakkan lebih ramai pelancong datang dan pada masa yang sama, kita tidak boleh berkompromi dengan aspek keselamatan.

‘’Terdapat isu lain (juga) yang perlu dibincang di pelbagai kementerian di negara ASEAN,’’ katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan beberapa pertemuan dengan rakan sejawatnya sempena ASEAN Tourism Forum 2025 (ATF 2025), yang berlangsung di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah wujud perbincangan sesama negara blok ASEAN sebagai usaha memastikan keseimbangan kemasukan pelancong di semua negara, Tiong menegaskan, ASEAN harus terus bekerjasama tanpa menjatuhkan antara satu sama lain.

Namun, jumlah kemasukan pelancong ke setiap negara ujarnya, bergantung kepada bagaimana sesebuah negara itu mempromosikan pakej pelancongannya.

‘’Seperti yang saya nyatakan tadi, kami bercakap tentang memperkukuh sektor pelancongan ASEAN.

‘’Kita harus bekerjasama dan tidak saling menjatuhkan. Namun, ia bergantung kepada setiap negara (di rantau ini) bagaimana mereka mempromosikan pakej pelancongan atau destinasi masing-masing.

‘’Kita harus berganding bahu, berkongsi pandangan, mengenal pasti kekurangan, dan mencari kaedah memperbaiki perkara itu secara kolektif,’’ tambahnya.

ATF 2025 yang bermula sejak Rabu hingga 20 Januari ini dianjurkan bagi mempromosikan produk pelancongan serantau dan memudahkan pertukaran pengetahuan serta mewujudkan jaringan.

la antara lain bagi meningkatkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi menambah jumlan pelancong yang mengunjungi ASEAN.

Sebelum ini beberapa mesyuarat penting berlangsung dengan antara tumpuan termasuk mengenal pasti beberapa cabaran yang perlu ditangani bagi memudahkan kehadiran pelancong dari Rusia ke rantau ini menerusi Mesyuarat Perundingan Pelancongan ASEAN-Rusia kali ke-15.

Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.