Panglima ATM Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata pengurusan persepsi ini akan dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti, tindakan serta sesi libat urus bagi membetulkan salah tanggapan tersebut dan pada masa sama, pelbagai saluran termasuk media sosial akan digunakan bagi menyebarluaskan maklumat yang sahih mengenai ATM.
"Kita akan meneliti kaedah terbaik dalam mengurus persepsi ini. Jika kita lihat di media sosial, terdapat segelintir pihak yang kurang memahami peranan ATM. Oleh itu, kita akan berusaha bersama-sama untuk menyampaikan maklumat yang tepat mengenai ATM serta hala tuju pasukan ini.
"Sebab itu, saya sering menekankan kepentingan media dalam menyampaikan maklumat mengenai usaha yang kita jalankan. Kita juga akan menjalankan kajian impak terhadap pelaksanaan langkah-langkah ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM ke-23 di Wisma Pertahanan, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengurusan persepsi ini akan menekankan aspek pembangunan modal insan dalam ketiga-tiga cabang ATM serta kejayaan pelbagai latihan yang telah dilaksanakan oleh pasukan tersebut.
Terdahulu, Mohd Nizam yang memulakan tugas hari ini telah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dalam majlis yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksama Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sesi dialog awam bersama veteran ATM akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu yang sering dibangkitkan, termasuk pencen, ganjaran, faedah perubatan serta tindakan susulan terhadap permasalahan yang mereka hadapi.
"Kami akan mendengar segala isu yang ingin diutarakan serta memaklumkan inisiatif terkini yang telah dilaksanakan bagi menangani masalah mereka. Mungkin selama ini tiada sesi libat urus secara terus, menyebabkan banyak rungutan timbul, seolah-olah kami tidak peka dengan rintihan yang disuarakan oleh para veteran," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nizam turut menekankan kepentingan menolak budaya berpuak-puak dan perpecahan demi kepentingan peribadi dalam kalangan warga ATM. Beliau menegaskan bahawa sebuah angkatan yang bersatu harus berpaksikan disiplin dan integriti.
"Kita mesti memperkukuh dan memupuk budaya hormat-menghormati, memberi pandangan yang jujur serta menegur dengan hikmah. Budaya teguran dan rasa hormat tidak boleh dipaksa, sebaliknya perlu dibina atas asas kepercayaan dan keikhlasan demi menjunjung sumpah perwira yang telah kita lafazkan," katanya.
-- BERNAMA