KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merujuk kepada pendirian Ahli Parlimen blok Barisan Nasional berhubung isu perintah larangan bersuara (gag order), selaras dengan Peraturan Mesyuarat 36(2).

“Peraturan ini menetapkan bahawa ahli tidak boleh membahaskan perkara yang sedang diadili (subjudis) dengan cara yang boleh menjejaskan kepentingan pihak-pihak yang terlibat dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan keputusan itu hanya berkaitan larangan membahaskan Titah Adendum dalam Dewan Rakyat dan bukan pendirian kerajaan terhadap gag order secara umum.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak sepatutnya memfailkan permohonan gag order kerana Titah Adendum sudah pun diketahui umum,” ujarnya.

Pada 4 Februari lalu, Ahmad Zahid menzahirkan penghargaan kepada Azalina atas peranannya dalam menyelaras isu gag order berkaitan Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Azalina pernah menyatakan bahawa perintah larangan bersuara itu tidak seharusnya dikeluarkan kerana perkara tersebut akan dibincangkan semula dalam sesi Parlimen Februari.

Pada 3 Februari, peguam bela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan bahawa AGC telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah tersebut.

Gag order itu bertujuan menghalang mana-mana pihak, termasuk media, daripada menerbitkan atau menyebarkan sebarang bentuk komunikasi – sama ada dalam cetakan, elektronik, digital, atau media sosial.

Ia juga bertujuan melarang sebarang kenyataan, komen, atau perbincangan yang boleh menimbulkan keraguan, mempersoalkan, mencabar, atau menghina kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. - Sinar Harian