Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan kejayaan terbaharu itu, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' selayaknya dipanggil Raja Pecut Dunia.
"Kejayaan ini melengkapkan lagi diari gemilang arena sukan negara selepas kejayaan bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, awal bulan ini.
"Saya dan seluruh peminat sukan tanah air, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Azizulhasni," katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya di sini, pada Khamis.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Dalam pada itu, Muhyiddin berharap kejayaan Azizulhasni akan menjadi inspirasi kepada atlet muda serta seluruh peminat sukan berbasikal dalam mengejar cita-cita mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.
"Kepada Azizulhasni, jadikanlah kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk beraksi lebih cemerlang dalam Sukan Olimpik Tokyo akan datang.
"Syabas Azizulhasni! Anda Kebanggaan Negara," katanya.
BACA: Azizulhasni kini nombor 1 dalam ranking dunia acara pecut individu