KUALA LUMPUR: Usaha untuk menjadikan ASEAN lebih berdikari dan kurang bergantung kepada dolar Amerika, inisiatif Local Currency Transactions (LCT) atau Local Currency Settlement (LCS) antara negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia dan Indonesia, menjadi langkah penting ke arah kemerdekaan kewangan serantau.

Ahli Ekonomi Kanan, Samuel Sekuritas Indonesia, Fithra Faisal Hastiadi berkata, walaupun masih ada cabaran, potensi besar inisiatif ini boleh membawa manfaat jangka panjang kepada ekonomi ASEAN.

Berikut adalah lima sebab yang digariskan beliau tentang impak penyelarasan transaksi rentas sempadan:

1. Mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS

Perdagangan di ASEAN sering terikat dengan nilai tukaran dolar AS yang dipengaruhi oleh faktor global, termasuk dasar monetari Amerika Syarikat dan ketidakstabilan geopolitik.

Ini membuat negara ASEAN terdedah kepada risiko luaran yang tidak berkaitan dengan ekonomi serantau.

" Dengan memperkukuh transaksi dalam mata wang tempatan, perdagangan boleh menjadi lebih stabil dan bebas daripada pergolakan global yang tidak berkaitan dengan rantau in", katanya.

2. Mempermudah peraturan dan operasi perdagangan

Tambah beliau, dari segi peraturan kewangan, Malaysia dan Indonesia sudah mempunyai banyak persamaan dan kerjasama dalam sektor kewangan.

Ini bermakna penyelarasan transaksi dalam mata wang tempatan sepatutnya lebih mudah.

Namun, cabaran utama bukan pada dasar dan peraturan, tetapi pada pelaksanaan teknikal.

Jika infrastruktur perbankan dan kecairan mata wang tidak mencukupi, para peniaga masih akan memilih dolar AS kerana lebih mudah dan tersedia.

Oleh itu, usaha untuk memastikan ketersediaan mata wang tempatan dalam sistem kewangan serantau adalah penting bagi kejayaan inisiatif ini.

3. Meningkatkan perdagangan Intra-ASEAN

Sejak krisis kewangan Asia 1997, perdagangan antara negara ASEAN masih berada pada tahap 25 peratus berbanding 70 hingga 80 peratus di Kesatuan Eropah (EU).

"Ini menunjukkan ASEAN masih belum mencapai tahap integrasi ekonomi yang kuat

"Dengan memudahkan transaksi rentas sempadan dalam mata wang tempatan, perdagangan antara negara ASEAN dapat meningkat dan membantu rantau ini menjadi lebih berdaya saing serta kurang bergantung kepada pasaran luar", kata beliau.

4. ASEAN sebagai pusat kewangan serantau

Penggunaan mata wang tempatan dalam transaksi serantau juga menjadikan ASEAN lebih menarik sebagai pusat perdagangan dan kewangan global.

Ini dapat mengurangkan pengaruh luar dalam kestabilan mata wang serantau serta membuka ruang kepada pelabur untuk beroperasi dalam ekosistem kewangan ASEAN yang lebih mantap.

Walaupun dolar AS masih diperlukan untuk perdagangan antarabangsa, kebergantungan mutlak terhadapnya boleh dikurangkan melalui pilihan alternatif seperti LCT/LCS.

5. Langkah awal ke arah mata wang tunggal ASEAN

Walaupun masih terlalu awal untuk memperkenalkan mata wang tunggal ASEAN, penyelarasan transaksi rentas sempadan boleh menjadi asas kepada masa depan yang lebih terintegrasi.

" Kajian pada 2011 menunjukkan bahawa ASEAN hanya mungkin mencapai mata wang tunggal pada 2040 atau lebih lama, bergantung kepada tahap kesediaan ekonomi setiap negara

"Untuk merealisasikan impian ini, ASEAN perlu memastikan tahap pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara negara anggota serta memperkukuh kepercayaan dalam sistem kewangan serantau", tambah Fithra

Penyelarasan transaksi rentas sempadan dalam mata wang tempatan bukan sahaja mengurangkan kebergantungan ASEAN kepada dolar Amerika, malah dapat meningkatkan perdagangan serantau, memperkukuh kestabilan ekonomi, dan menjadikan ASEAN lebih inklusif serta berdaya tahan.

Walaupun masih ada cabaran teknikal dan ekonomi, langkah ini merupakan permulaan yang baik dalam menjadikan ASEAN lebih berdikari dan berdaya saing di peringkat global.