Perkara ini disambut baik oleh pengusaha industri kreatif negara selain berpendapat bukan jumlah dana yang menjadi fokus tetapi lebih kepada strategi membangunkan industri kreatif.
Naib Presiden MDEC, Kamil Othman
Naib Presiden Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Kamil Othman ketika dihubungi Astro AWANI berkata dengan peruntukkan ini, pengusaha seni kreatif perlu beri tumpuan lebih kepada strategi pengedaran karya tempatan ke pasaran antarabangsa.

Naib Presiden Mdec, Kamil Othman
“Kebanyakan karya kita berakhir di pasaran tempatan kerana rata-rata penggiat seni terlalu tumpukan kepada proses pembikinan.
“Tumpuan harus diberikan kepada penghasilan skrip dan penceritaan yang lebih baik serta perancangan strategi pemasaran ke peringkat dunia terutama kepada industri filem dan telefilem” kata Kamil yang turut megambil contoh industri animasi di Malaysia.
“Karya-karya animasi di Malaysia seperti Upin Ipin dan BoBoiBoy misalnya, telah berjaya ke peringkat antarabangsa kerana penggiatnya sudah masak dengan strategi pemasaran dan kehendak peminat animasi. Kemudian selepas itu, karya itu dikembangkan kepada satu jenama peniagaan barangan cenderahati serta serta restoran - itu strategi perniagaan yang perlu dicontohi ” katanya.
Kamil berkata, penggiat filem di Malaysia terutamanya perlu lebih kreatif dalam mencari usaha sama pengedar serantau dan tidak hanya mengharapkan dana kerajaan.
“Dana kerajaan mungkin tidak begitu banyak untuk pengusaha filem membolehkan sesebuah karya ke pasaran dunia, namun ia dapat diselesaikan jika lebih banyak usaha sama dilakukan bersama produksi luar.
Perkara itu sudah lama dilakukan oleh produksi antarabangsa seperti Hollywood, diawal filem mereka nama produksi yang menerbit filem akan muncul sebagai penerbit utama kemudian ‘in association with ...’ beberapa nama produksi lain pula, kemudian ‘supported by..’ nama produksi-produksi lain pula. Ini strategi yang perlu kita guna” katanya.
Kamil turut mengambil contoh usaha penerbit filem ‘Lelaki Harapan Dunia’ yang berjaya bekerjasama dengan tujuh penerbit luar negara serta SKMM dan FINAS sendiri.
“Filem Lelaki Harapan Dunia adalah contoh yang baik dalam penghasilan filem untuk pasaran antarabangsa. Mengharapkan peruntukkan kerajaan sahaja, mungkin terhad. Perlu ada usaha dapatkan dana luar” katanya.
Kamil turut mencadangkan agar karya seni adaptasi dari novel-novel terkenal tanah air perlu diperbanyakkan kerana penceritaan serta penerimaan karya tersebut sudah terbukti selain berharap agar lebih banyak karyawan indie yang terdiri dari generasi muda tampil membantu industri kreatif negara.
Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd, Mohd Nizam Abd Razak
Sementara itu, Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd Mohd Nizam Abd Razak berkata tumpuan perlu diberikan dalam mengenalpasti apa yang perlu dilakukan dengan peruntukkan yang disediakan.

Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd, Mohd Nizam Abd Razak
"Saya gembira dengan pengumuman tersebut. Seterusnya, kita perlu beri tumpuan kepada mengenal pasti apa yang perlu dilakukan dengan RM100 juta itu dan merancang perkara yang perlu difokuskan dalam masa satu ke dua tahun" katanya yang hadir di perbincangan Bajet 2015 di studio Astro AWANI pada Sabtu.
Kata Nizam, inisiatif terkini oleh kerajaan adalah satu perkembangan positif tetapi pembiayaan sahaja tidak mencukupi untuk memastikan pembangunan berterusan industri ini.
"Apabila kita melihat kisah-kisah kejayaan, Malaysia telah menghasilkan Harta Intelek (IP) yang diiktiraf di peringkat serantau. Walau bagaimanapun, kami masih belum sampai ke A-kelas atau antarabangsa. Ini memerlukan lebih daripada hanya pembiayaan, kita perlu mahir dalam akses pasaran" jelas Nizam.
Animonsta Studios telah menghasilkan siri animasi popular, BoBoiBoy yang telah berjaya menembusi pasaran Asia.
Kini Nizam dalam perancangan untuk membawa jenama tersebut ke Eropah dan Timur Tengah.
"Sebahagian daripada jenama tempatan kita sudah membina nama di Asia. Persoalannya sekarang ialah bagaimana anda mengeksport karya itu ke seluruh dunia? Bagaimana boleh kita tingkatkan lagi kandungan tempatan kita?"
Pengerusi SKMM, Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi
Pengerusi SKMM Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi berkata peruntukkan itu membuktikan bahawa kerajaan komited dalam meningkatkan industri kandungan digital tempatan ke peringkat global.

Pengerusi SKMM Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi
"Usaha ini penting dalam melonjakkan kandungan digital tempatan ke persada antarabangsa.
"Ia juga selari dengan inisiatif kita baru-baru ini yang dilihat dalam penganjuran ekspo dan persidangan KL Converge (www.klconverge.com) yang memaparkan potensi industri kreatif tempatan dan serantau dengan mewujudkan suatu platform penyatuan idea-idea dan pengagihan kandungan digital," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, KL Converge merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia hasil cetusan bekas menterinya, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri kreatif negara bagi membincangkan mengenai peruntukan RM100 juta yang diluluskan Perdana Menteri dalam bajet 2015.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihaknya akan memanggil semua pihak terbabit minggu depan bagi mencari kaedah terbaik bagi menyalurkan peruntukan berkenaan.
“Mungkin pada masa ini terdapat industri kreatif yang merudum dari segi kutipan kerana hasilnya yang kurang berkualiti dan kementerian akan melihat bagaimana untuk membantu” katanya yang ditemui selepas program sukan hari keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Pantai Peranginan Telok Kalong di Kemaman.