Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata berdasarkan analisis Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan, Pahang, sampel kerang yang diambil pada Rabu lepas mengandungi Fecal coliform melebihi 300 MPN/100g dan E. coli melebihi 230 MPN/100g
"Kesimpulannya, keputusan analisis makmal terhadap kerang hanyut ke daratan pada tahun 2014, 2016, 2019, 2021 dan terkini (2025) menunjukkan tahap bakteria berkenaan dalam sampel kerang melebihi piawaian yang ditetapkan.
"Kerang dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai Kelas B dan C, di bawah piawaian Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (NSSP), yang perlu dimasak sempurna sebelum dimakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Ruzaidi menasihati orang ramai supaya memastikan kerang yang dikutip, dimasak sepenuhnya sebelum dimakan bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria.
Beliau berkata pengambilan kerang mentah harus dielakkan terutama bagi individu dengan sistem imun yang lemah.
Selain itu, Ruzaidi juga menyarankan orang ramai supaya sentiasa mempraktikkan langkah-langkah kebersihan semasa memproses makanan laut bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.
"Langkah berjaga-jaga ini adalah penting untuk memastikan keselamatan makanan terjamin dan melindungi kesihatan pengguna. Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akan terus menjalankan pemantauan berkala terhadap keselamatan makanan laut dan menyediakan maklumat terkini kepada orang ramai," katanya.
Sebelum ini Ruzaidi turut mengeluarkan kenyataan memaklumkan tiada kehadiran plankton yang menghasilkan biotoksin dikesan dalam sampel air di Pantai Sura, yang diambil pada hari sama.
-- BERNAMA