KUALA LUMPUR: Sebanyak 470 institusi pendidikan telah dioperasikan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir, melibatkan 392 sekolah rendah, 77 (sekolah menengah) dan sebuah kolej vokasional sejak Monsun Timur Laut bermula pada 5 November lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan tiga negeri tertinggi yang mempunyai sekolah dijadikan PPS adalah Kelantan 240 buah sekolah, Terengganu (137) dan Kedah (51).

"Sehingga jam 8 pagi, 5 Disember 2024, terdapat sebanyak 117 buah sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS iaitu 93 buah sekolah rendah dan 24 buah sekolah menengah.

"Bilangan murid yang ditempatkan di PPS pula semenjak bermulanya Monsun Timut Laut pada 5 November 2024 yang lalu ialah seramai 23,957 orang murid.

"Tiga negeri yang mempunyai bilangan tertinggi murid terkesan dan ditempatkan di PPS ialah Kelantan dengan jumlah 17,873 orang murid, diikuti Terengganu seramai 3,893 orang murid dan 1,580 orang murid di Kedah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, sehingga jam 8 pagi tadi, terdapat seramai 7,212 murid masih berada di PPS premis sekolah, dengan Kelantan mencatatkan 5,305 murid, Terengganu (1,090), Kedah (767), Melaka (30), Johor (18) dan Perak (dua).

Sementara itu, beliau berkata, KPM juga menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) di PPS.

Katanya, SST terdiri daripada sukarelawan Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan dengan situasi banjir, dan membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS.