KUCHING: Hujan berterusan tanpa henti di seluruh negeri ini menyebabkan situasi banjir semakin memburuk di Bahagian Serian.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Sarawak, sehingga jam enam pagi, sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) berkaitan banjir telah dibuka, membabitkan 473 mangsa.

"Empat PPS baharu dibuka di Serian iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Sorak, PPS Dewan Kampung Lintang Baru, PPS Dewan Masyarakat Serian dan PPS SK Tanah Merah.

"Dua lagi PPS yang dibuka lebih awal, PPS Dewan Sukan Kidurong di Bintulu dan PPS Dewan SJK (C) Chung Hua di Batu Kawa, Kuching juga menunjukkan peningkatan," katanya.

Ketika berita ini ditulis, kebanyakan kawasan di sekitar Kuching, Serian, Miri telah mengalami banjir.

Turut meningkat, jumlah mangsa yang mendaftar masuk di PPS Dewan Mesra Simunjan di Bahagian Samarahan.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dari Kuching hingga Kapit dan Miri, sehingga 30 Januari.