Antara kawasan yang berhadapan situasi ini termasuklah di Bahagian Mukah, yang menyaksikan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Mukah dan Matu, pada Sabtu.
Turut dibuka ialah PPS Dewan Masyarakat Beluru di Bahagian Miri, bagi menampung 29 keluarga yang terjejas banjir di Kampung Melayu Bakong dan setinggan berhampirannya.
Secara statistik, jumlah keseluruhan mangsa yang berlindung di seluruh 62 PPS di seluruh Sarawak adalah 12,101 orang sehingga jam 6.30 pagi Ahad.
Tiada mangsa direkodkan di Kuching selepas tiga PPS di bahagian itu ditutup semalam, namun 13 PPS aktif direkodkan di bahagian Samarahan, membabitkan 1,926 mangsa daripada 650 keluarga.
Di bahagian Serian, selain PPS Kampung Ensebang Padang Bilon di daerah Balai Ringin yang ditutup, masih terdapat 2,589 mangsa daripada 799 keluarga yang berlindung di 19 PPS.
Kawasan yang paling teruk terjejas di kawasan ini ialah Kampung Tanah Putih, apabila 470 mangsa daripada 140 keluarga berlindung di PPS SK Tanah Putih, sambil 300 mangsa daripada 96 keluarga dari Kampung Sebemban didaftarkan di PPS Dewan SK Abang Kadir, Gedong.
Di bahagian Sibu, sebanyak 313 keluarga membabitkan 1,184 mangsa direkodkan di enam PPS, dengan empat PPS terletak daerah Selangau; selain masing-masing satu di daerah Sibu dan Kanowit.
Meskipun banjir termenung dilaporkan di beberapa kawasan di bahagian Mukah, namun hanya tiga PPS dibuka iaitu dua di daerah Mukah, dan satu di daerah Matu, dengan kebanyakan mangsa yang memilih untuk berada di rumah masing-masing.
Bahagian Bintulu merekodkan 5,255 mangsa daripada 1600 keluarga, dengan tujuh PPS aktif direkodkan di daerah Bintulu, dua di Tatau dan satu di Sebauh.
Daripada jumlah ini, PPS terbesar tetap direkodkan di Naim Paragon dengan jumlah mangsa 1,974 orang, yang berasal dari Sungai Plan, Bukit Orang, Rumah Ningkan, UPM Bintulu, RPR Sebiew, Rumah Dunggat, Rumah Indi dan Rumah Selanjat, yang sebelum ini agak terjejas.
Seperti yang dinyatakan oleh Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti, keadaan banjir di bahagian tersebut hampir surut sepenuhnya, kecuali beberapa kawasan di pedalaman Sebauh dan Tubau.
Pun begitu, beberapa kawasan di Miri berhadapan situasi berbeza, disebabkan air pasang besar dan situasi banjir termenung.
Sebanyak 12 PPS dibuka di bahagian Miri, dengan sembilan daripadanya di daerah Miri, dua di Subis dan satu di Beluru, dengan jumlah mangsa kini mencecah 1,086 orang daripada 256 keluarga.
Menurut Ahli Parlimen Sibuti yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, keadaan banjir kali ini adalah yang terburuk di kawasannya, yang membabitkan lebih 10,000 penduduk.
“Situasi ini menyebabkan kemudahan elektrik dan air bersih terputus, selain perkhidmatan telekomunikasi terjejas.
“Ini menyebabkan situasi mereka sukar untuk diketahui, terutama bagi penduduk 50 rumah panjang yang terletak di pedalaman Sibuti,” katanya lagi.
MetMalaysia meramalkan tiada hujan luar biasa berlaku di seluruh Sarawak, namun hujan renyai-renyai dilaporkan di beberapa tempat seperti Kuching, Samarahan, Mukah, dan Miri pada pagi Ahad.