Di SARAWAK, keadaan banjir semakin memburuk dengan mangsa banjir meningkat kepada 12,486 daripada 3,648 keluarga di 62 PPS, berbanding 11,234 orang daripada 3,187 buah keluarga malam tadi.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, daerah Bintulu kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 5,885 orang daripada 1,649 keluarga, diikuti Serian seramai 2,307 mangsa (709 keluarga), serta Samarahan dengan 2,005 mangsa (670 keluarga).
Bilangan mangsa yang agak tinggi turut dilaporkan di daerah Sibu dengan 1,163 mangsa daripada 293 keluarga, sementara di Miri pula merekodkan 650 mangsa (172 keluarga), Kuching dengan 475 mangsa (153 keluarga), manakala seorang mangsa dicatatkan di Mukah.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 5,216 orang daripada 1,820 keluarga, berbanding 5,195 orang daripada 1,797 keluarga, malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan 33 PPS masih kekal beroperasi di sembilan daerah.
Kota Marudu kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,944 orang daripada 1,095 keluarga, diikuti Pitas dengan 806 mangsa (298 keluarga), Lahad Datu 514 mangsa (136 keluarga), Telupid 288 mangsa (75 keluarga), Paitan 238 mangsa (85 keluarga), dan Kota Belud 207 mangsa (67 keluarga).
Daerah lain yang terjejas ialah Beaufort 108 mangsa (31 keluarga), Beluran 57 mangsa (20 keluarga), dan Tongod 54 mangsa (13 keluarga).
Jawatankuasa itu melaporkan trend pemindahan mangsa di daerah Pitas menunjukkan peningkatan, manakala daerah-daerah lain kekal tidak berubah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Marudu Meirin Sugara yang juga Pegawai Daerah Kota Marudu berkata bencana banjir di daerah itu dijangka pulih sepenuhnya berikutan cuaca baik hari ini.
Sehubungan itu beliau berkata penduduk dibenarkan pulang secara berperingkat dan Komander Operasi Bencana telah diarah untuk menyelaras kekuatan anggota, aset dan logistik di PPS untuk operasi penghantaran pulang mangsa banjir ke rumah masing-masing.
-- BERNAMA