Pasukan dari Malaysia itu yang bertanding dalam kelas Racing menggunakan kapal Uranus adalah pasukan terawal menghulurkan bantuan kepada kapal pasukan Boreas dari Australia yang terbalik semasa perlumbaan hari keempat, Jumaat lepas.
Menceritakan kembali kejadian kira-kira 11 pagi itu, ketua pasukan ATM Sailing Team, Hasani Izhar berkata, ketika itu pasukannya masih dalam perlumbaan pusingan kelapan sebelum terlihat kapal pasukan Boreas terbalik.
"Apabila nampak kapal mereka terbalik, kami telah berbincang dan bersetuju untuk berhenti dan menamatkan pusingan bagi memberikan bantuan kepada Boreas. Sebaik sampai, kami terus memberikan bantuan awal kecemasan kepada seorang kru kapal yang mengalami kecederaan di bahu.
"Selepas itu, kami pindahkan lima lagi kru kapal itu bersama barangan mereka ke kapal Uranus. Selain itu, kami turut membantu memberikan tali serta menghubungi Polis Marin dengan segera bagi mendapatkan bantuan kecemasan serta usaha untuk menyelamatkan kapal terbalik itu," katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu pada majlis penutupan RLIR 2025, malam tadi.
Hasani berkata, selepas berjaya mengalihkan semula kapal berkenaan, beberapa kru pasukannya membantu kru pasukan Boreas untuk membuat kerja-kerja mengepam air keluar bermula dari 4 petang hingga 8 malam.
"Walaupun mengejar mata dalam perlumbaan tetapi apabila berlaku kecemasan melibatkan nyawa di laut, ia sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan bantuan kepada pasukan yang dalam kesusahan dan difahamkan ini insiden pertama kapal layar terbalik semasa perlumbaan sepanjang penganjuran RLIR.
"Meskipun tidak menang dalam kelas Racing tetapi kami amat terharu dan bangga kerana dianugerahkan dengan anugerah yang cukup bermakna ini. Ini kali pertama kami menerima anugerah seumpama ini sejak penyertaan pertama dalam RLIR pada 2006," katanya.
Jumaat lepas, seorang peserta RLIR 2025 mengalami kecederaan selepas kapal layar dinaiki pasukannya terbalik dalam kejadian kira-kira 11 pagi.
Karen Rowlands, 72, yang juga kru kapal Boreas yang bertanding dalam kelas Multihull cedera di kepala, bahu kanan dan peha kanan telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan lanjut
Anugerah khas, Anugerah Kesukanan Tunku Abdullah diberikan kepada individu atau pasukan yang mempamerkan semangat kesukanan tinggi semasa berada di laut mahupun darat sepanjang RLIR berlangsung dan pemenang bagi anugerah itu ditentukan berdasarkan jumlah undian terbanyak dibuat peserta perlumbaan itu. - BERNAMA