ALOR SETAR: “Saya tidak menyangka kemalangan yang dilihat ketika melalui Jalan Tanjung Bendahara adalah anak saya yang meninggal dunia".

Demikian kata Mohd Niza Nazari, 49, yang terpaksa meneruskan perjalanan kerana keadaan jalan ketika itu sesak dan polis tidak membenarkan pemandu memberhentikan kenderaan.

Dalam kejadian jam 10.20 malam tadi, Mohd Niza kehilangan anak tunggal lelaki Muhammad Danish Iqbal, 18, yang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Febuari lalu.

“Waktu itu jam 11.30 malam saya keluar untuk membeli juadah makanan untuk bersahur dan setiba di kedai, pelanggan di kedai memaklumkan ada kemalangan kereta putih membabitkan dua mangsa maut manakala tiga lagi cedera.

“Saya dah tak sedap hati sebab anak saya, Muhammad Danish Iqbal tumpang kereta rakannya juga warna putih tetapi tak pasti nombor pendaftaran. Kemudian dalam perjalanan pulang, saya melalui kawasan kemalangan itu namun tidak boleh berhenti.

"Pada jam 1.30 pagi, polis menghubungi saya memaklumkan Muhammad Danish Iqbal terbabit dalam kemalangan dengan rakan-rakannya dan minta saya ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan segera," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HSB, di sini hari ini.

Mohd Niza berkata, Muhammad Danish Iqbal adalah anak sulung daripada dua beradik.

Katanya, dia dan isterinya, Norhayati Ariffin, 47, reda dengan pemergian anak mereka itu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Derga, Jalan Langgar selepas solat Jumaat.

Sementara itu ibu kepada seorang lagi mangsa Muhammad Dhani Arumi Mohd Azlan, 18, Sharifah Nur Afzan Syed Abdul Rahman, 48, mezahirkan rasa sedih kerana anak ketiganya itu pergi buat selamanya dalam suasana mereka sekeluarga baru menyambut Ramadan.

“Kami hanya sempat bersama Muhammad Dhani Arumi berbuka berpuasa lima hari tahun ini sebelum dia pergi buat selama-lamanya.

"Semalam, dia sangat memuji bihun goreng yang saya masak ketika berbuka puasa sedangkan saya masak biasa saja dan arwah makan penuh berselera," katanya.

Katanya, setiap malam, anaknya pergi menunaikan solat tarawih di masjid bersama rakan-rakannya.

"Biasanya arwah lebih suka menunggang motosikal ke masjid tetapi malam tadi, rakannya datang ke rumah dan ajak dia naik kereta bersama tiga rakan yang lain.

"Dia keluar dari rumah kami di Taman Mutiara, di sini sekitar jam 8.20 malam dan jam 1.30 pagi saya terima panggilan daripada rakan arwah memaklumkan anak saya kemalangan dan beritahu ada yang meninggal dunia tapi saya tak tak tahu siapa yang meninggal.

"Tidak lama kemudian saya diberitahu salah seorang yang meninggal dunia adalah anak saya," katanya.

Sharifah Nur Afzan berkata, dia mempunyai tiga lagi anak yang kesemuanya perempuan berusia 8 hingga 21 tahun.

Jenazah Muhammad Dhani Arumi dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Masjid Alor Merah, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dari arah Jalan Alor Mengkudu itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu merempuh tiang elektrik, pokok kelapa dan hentian bas.

Akibat perlanggaran itu, semua penumpang termasuk pemandu tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan bomba.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.